Pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi tampil memberikan penjelasan selepas namanya turut dikaitkan berikutan video prank seorang individu yang mencampakkan kek ke muka seorang wanita tular di media sosial.
Menurut Aznil, individu yang memuat naik video tersebut merupakan salah seorang peserta program Raja Viral yang menampilkan dirinya sebagai salah seorang juri.
Katanya lagi, kesemua peserta telah pun diberikan panduan tentang penghasilan konten-konten viral, namun perkara ini berlaku di luar pengetahuannya.
“Saya tahu respon daripada orang ramai mengenai video viral itu turut membabitkan nama saya. Saya nak bagitahu, saya merupakan mentor untuk program Raja Viral yang akan ditayangkan di Tik Tok dan YouTube.
“Saya dan mentor lain mengajar mereka tentang penghasilan konten-konten viral. Kami dah bawakan Izuan juga sebagai contoh agar perkara ini tidak berlaku lagi.
“Mereka telah dibimbing untuk tidak menimbulkan perkara yang merumitkan tapi sekarang dah jadi,” katanya menerusi sebuah video di Instagram.
Dalam pada itu, Aznil turut memaklumkan dirinya telah diberitahu, segala kejadian di dalam video terbabit hanyalah lakonan semata-mata untuk melakukan eksperimen sosial terhadap masyarakat.
“Ini perkara yang ingin saya jelaskan. Kita dah banyak kali pesan agar tidak melakukan konten-konten prank sebegitu kerana ia akan memakan diri. Saya baru tahu, rupanya dia telah membayar semua yang terlibat di dalam video tersebut.
“Dia bayar makcik yang kena kek itu, ibu kepada kakak tersebut, adik OKU dan juga semua kanak-kanak di situ. Mereka semua adalah pelakon-pelakonnya. Ini adalah di luar pengetahuan saya.
“Silap dia adalah kerana tidak mendedahkan prank tersebut hanyalah lakonan semata-mata. Saya tanya apa tujuan dia buat video tersebut? Dia kata itu adalah eksperimen sosial untuk melihat kepekaan orang di sekeliling untuk menangkap si pelaku.
“Lalu dia menjawab, tiada pun yang datang menolong. Itu adalah mesej yang ingin dia sampaikan,” kongsinya lagi.
Lantaran itu, Aznil turut berharap agar penerangannya itu dapat menjelaskan mengenai kedudukannya di dalam isu ini.
Malah, dia juga berjanji akan bertanggungjawab untuk membimbing para peserta agar perkara seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa akan datang.
Sebagai mentor, saya hanya boleh menasihatkan sahaja. Sebenarnya kita boleh viral dengan acuan kita sendiri menerusi elemen seperti kasih sayang dan bantu membantu.
“Saya berharap agar penerangan ini dapat menjelaskan mengenai kedudukan saya di dalam isu video viral ini.
“Saya akan mengambil tanggungjawab untuk membimbing mereka lagi supaya mereka dapat menjadi contoh yang baik untuk mereka yang aktif di media sosial. Terima kasih kerana faham mengenai kedudukan saya,” akhirinya.
Sumber & Kredit: Instagram Datuk Aznil Hj Nawawi