Pasangan popular Bollywood, Akshay Kumar dan Twinkle Khanna baru sahaja menyambut ulangtahun ke-21 perkahwinan mereka hari ini.
Berkahwin pada tanggal 17 Januari 2001, ketika masing-masing berusia 34 tahun dan 27 tahun, pasangan ini dikurniakan sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan.
Hari ini di laman Instagramnya, Akshay memuat naik gambar kandid dia dan isteri sempena ulang tahun mereka. Dalam hantaran
tersebut dia menulis, “21 tahun sejak kita berkahwin namun rasa seperti baru mengenalinya. Terima kasih kerana menjadikan setiap hari seperti kali pertama. Selamat Ulang Tahun Tina.”Dalam ruangan komen, dapat dilihat Twinkle Khanna meninggalkan emotikon berbentuk hati kepada suaminya itu. Hantaran tersebut sehingga kini memperoleh lebih sejuta tanda suka.
Manakala dalam laman Instagram Twinkle Khanna pula, dia turut berkongsi kisah tentang perhubungan mereka siap dengan tanda pagar #21yearsoflaughter. “Pada hari ulang tahun perkahwinan ke-21, kami ada satu perbualan. Saya: Awak tahu, kita sangat berbeza sehinggakan jika kita berjumpa di majlis hari ini, saya tidak tahu sama ada saya akan bercakap dengan awak.
Dia: Saya pasti akan bercakap dengan awak. Saya: Kenapa saya tidak terkejut. Jadi macam mana? Awak akan ajak saya keluar? Dia: Tidak, saya akan berkata, ‘Bhabhi ji, bagaimana keadaan Bhai Sahab, anak-anak baik-baik saja? Ok Namaste,” tulis ibu kepada dua cahaya mata ini.
Akshay dan Twinkle saling jatuh cinta ketika mereka menjalani penggambaran untuk filem International Khiladi arahan Umesh Mehra pada tahun 1999.
Hidup bahagia bersama dua anak mereka. Pasangan popular ini mempunyai prinsip untuk menjauhkan anak-anak mereka dari lensa kamera. Ini disebabkan mereka mahu memberi kehidupan ‘normal’ kepada cahaya mata mereka dan tidak tertekan dengan kehidupan sebagai anak orang popular.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan