Penyanyi, Sheila Abdull ada menitipkan ucapan selamat tinggal sempena hari terakhirnya berkhidmat sebagai pramugari di syarikat penerbangan, Malindo Air.
Menurut Sheila, dia menerima keputusan ini dengan hati terbuka kerana faham dengan situasi yang melanda syarikat penerbangan tersebut ketika ini yang dikatakan turut terkesan akibat pendemik Covid-19.
“Tiba masanya untuk saya ucapkan selamat tinggal. Dua perkara yang paling sukar untuk dilakukan dalam kehidupan adalah untuk mengucapkan ‘hello’ buat pertama kalinya dan mengucapkan selamat tinggal buat kali yang terakhir.
“Tetapi ini adalah impak yang terpaksa kami terima dalam kejadian pendamik baru-baru ini. Terima kasih kepada kawan-kawan di seluruh jabatan untuk segala kenangan manis dan masa-masa gembira bersama,” tulisnya.
Kisah tersebut dikongsikan oleh penyanyi yang pernah popular menerusi lagu Mungkinkah itu menerusi akaun Instagram miliknya.
Dalam pada itu, Sheila turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak terutama rakan-rakan sekerjanya yang selama ini ada bersamanya sepanjang empat tahun berkhidmat.
“Terima kasih untuk empat tahun yang penuh bermakna untuk setiap persahabatan dan sokongan. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berkhidmat di syarikat ini. Saya sentiasa akan bersyukur kerana peluang ini.
“Terimalah maaf daripada saya untuk segala kesilapan atau perkara mengguris hati yang pernah saya lakukan ketika kita bersama. Jutaan terima kasih untuk setiap masa-masa berharga bersama.
“Selamat maju jaya saya ucapkan buat anda semua dan juga Malindo Air. Semoga kita berjumpa lagi. InsyaAllah,” kongsinya lagi menerusi kapsyen di IG TV dalam bahasa Inggeris.
Sementara itu, ibu kepada seorang anak itu turut menitipkan ucapan selamat maju jaya kepada semua pihak yang senasib dengannya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen memberikan kata-kata semangat selain turut mendoakan agar segala urusan Sheila selepas ini akan sentiasa dipermudahkan.
Memetik laporan Astro Awani, pada 12 Oktober lalu, Malindo Air mengumumkan bakal memberhentikan sekitar 2,200 kakitangan atau lebih separuh daripada tenaga kerjanya.
Proses pemberhentian kerja melibatkan kakitangan yang terlibat dijangka selesai pada 30 November depan manakala kakitangan yang tidak terjejas diperlukan melakukan tugasan yang pelbagai.