Pelakon dan model, Nadia Brian kini menghitung hari untuk bergelar tunangan kepada lelaki pilihan, Muizz Nasruddin 4 Mei depan.
Perkongsian berita gembira tersebut disampaikan menerusi laporan Berita Harian, semalam.
Ujar bintang berusia 28 tahun itu lagi, majlis dijangka bakal berlangsung secara sederhana di sebuah hotel di Shah Alam serta hanya dihadiri ahli keluarga dan teman rapat.
“Majlis pertunangan kami akan diadakan secara kecil-kecilan sahaja dan bakal dihadiri anggota keluarga serta kenalan terdekat,” katanya yang turut merancang mahu mendirikan rumah tangga awal tahun hadapan.
“Jika mengikut perancangan, ia mungkin dilangsungkan pada awal 2020 atau secepat-cepatnya penghujung tahun ini,” jelas Nadia jujur.
Terdahulu, pasangan ini saling bersetuju untuk sama-sama menguatkan ikatan cinta awal Februari lalu, apabila Nadia menerima lamaran bakal tunang dalam suasana romantik berlatarkan pemandangan Menara Eiffel.
Foto: Instagram Nadia/Muizz