Hampir setahun bergelar ibu tunggal, pelakon Anita Baharom, 39, sah bergelar isteri kepada duda anak lapan, Engku Isyamudin Tuan Losin, 48, dengan sekali lafaz pada jam 11.50 pagi Khamis.
Majlis pernikahan pasangan ini berlangsung di Garden Hall, Bizmilla One City, Subang Jaya, Selangor.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh abang pengantin perempuan, Zulkifli Baharom.
Pada majlis tersebut Anita telah menerima mas kahwin berupa tiga dinar emas manakala wang hantaran dirahsiakan.
Majlis tersebut dihadiri oleh ahli keluarga dan teman rapat kedua-dua belah pihak.
Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kedua Anita manakala yang keempat buat Engku Isyamudin.
Sementara itu, Anita ketika ditemui menzahirkan rasa bersyukur majlis berkenaan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang dan mengharapkan perkahwinan keduanya ini akan berkekalan hingga akhir hayat.
“Alhamdulilah segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang sebelumnya, saya bersyukur sangat kerana diberikan peluang sekali lagi untuk bergelar isteri.
“Saya harap sangat dengan perkahwinan kali kedua ini dapat berikan kebahagiaan bukan saja untuk saya tapi untuk anak-anak kerana mereka juga memerlukan kasih sayang seorang bapa,” katanya.
Pasangan ini akan diraikan dalam majlis resepsi di lokasi sama pada malam ini.
Terdahulu, suami Anita yang juga bekas penerbit program TV3, Allahyarham Mohd. Ismadi Ismail menghembuskan nafas ketika tidur pada 1 Januari lalu.
Perkahwinan Anita dengan Mohd. Ismadi dikurniakan tiga cahaya mata, Syifa Dhia Nurina, 15, Mohamad Dhia Iskandar, 11, serta Mohamad Dhia Mikail, 8 tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI