Penyanyi Aina Abdul tampil dengan single terbaharu berjudul Aina Abdul yang menampilkan kelainan apabila menggabungkan tiga lagu baladanya iaitu Sumpah, Semalam dan Sepi.
Namun dalam ramai yang menyukai lagu berkenaan, ada juga memberikan reaksi sebaliknya apabila beranggapan mereka seolah-olah tertipu memandangkan ia bukanlah sebuah lagu baru sepenuhnya.
“Saya ada baca banyak ‘mix review’. Ada yang rasa tertipu, ada yang kata saya ‘scam’ dan pelbagai lagi. Bagi saya, semua orang ada pendapat saya tersendiri.
“Lagu ini juga seperti lagu baharu. Saya juga tak pernah janji kepada sesiapa yang saya bakal mengeluarkan lagu baharu. Ada yang ingat saya keluarkan lagu baharu, rupanya tiga lagu lama yang disatukan.
“Susunan muzik dalam lagu ini juga adalah susunan baharu dan bagi saya, lagu ini seperti lagu baharu. Tapi, saya sendiri faham kepada mereka yang tak dapat merasakan ‘hype’ yang sama seperti saya, saya bersedia untuk terima komen sebegini,” katanya.
Aina bagaimanapun tidak menyalahkan mereka yang memberikan kritikan kerana dia sedaya upaya telah cuba memberikan suatu yang berbeza.
“Saya nak buat sesuatu yang berbeza dalam portfolio saya. Tetapi, dalam komen negatif, ada juga komen positif. Saya sendiri tak rasa saya membazir kerana saya rasa bangga dengan hasil kerja saya ini.
“Saya percaya dengan kreativiti dan selepas ini Insya-Allah akan ada banyak lagi lagu menyusul. Lagu untuk dikeluarkan pada tahun 2022 pun saya dah siap.
“Ada yang tanya mana lagu baru saya? Tak ada idea ke buat lagu seperti ini? Doakan saya sentiasa ada idea dan yang pasti akan ada banyak lagu di masa akan datang. Tunggu tau, Insya-Allah,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, Aina Abdul turut mempunyai mesejnya yang tersendiri dan dia menjadikan perjalanan kerjaya sebagai fokus utama.
“Tiga lagu ini digabungkan kerana emosinya yang saling berkait dan sesuai untuk ditampilkan dalam sebuah karya. Di awal lagu dimulakan dengan melodi Sumpah, diikuti dengan Semalam dan diakhiri dengan Sepi.
“Emosi dari gabungan tiga lagu ini menceritakan figura wanita yang kuat meskipun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran hidup dan perjuangan seorang diri.
“Sesuai dengan mesej Sumpah yang mengetengahkan hal kesihatan mental, Semalam pula memberi fokus kepada konflik masalah rumah tangga, manakala Sepi pula mengenai self-empowerment.
“Saya jadikan kesusahan perjalanan karier seni sebagai fokus mesej utama lagu Ain Abdul. Alhamdulillah, apabila tiga buah lagu ini digabungkan, hasilnya menjadi dan Aina bangga dengan mashup ini,” katanya.
Aina Abdul sehingga kini sudah pun mencapai tontonan hampir 200,000 kali selepas beberapa hari dimuat naik di laman YouTube.