
Penyanyi dan penulis lagu berbakat dari Indonesia, Nadin Amizah, bakal mengadakan ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ susulan permintaan tinggi daripada peminatnya di negara ini.
Acara istimewa tersebut akan berlangsung pada 16 Mei 2025, jam 8 malam, bertempat di Zepp Kuala Lumpur.
Selepas kejayaan ‘Malam Mendengar’ di Jakarta tahun lalu, Nadin akhirnya membawa konsep unik ini ke Malaysia.
Menurut Nadin, ia bukan sekadar sebuah persembahan biasa, sebaliknya sebuah pengalaman mendalam yang dicipta bagi menghubungkan dirinya dengan peminat menerusi muzik dan lirik yang penuh makna.
“Saya berasa sangat gembira dan terharu, tapi pada masa sama gementar untuk memenuhi ekspektasi peminat di Malaysia,” katanya.
Apa yang menjadikan persembahan kali ini lebih istimewa adalah susunan muziknya yang berbeza daripada penampilan terdahulunya di Malaysia.
Buat pertama kali, Nadin akan mempersembahkan lagu-lagunya dalam gubahan muzik orkestra, sekali gus memberikan dimensi baru kepada karya-karyanya yang sudah begitu dekat di hati peminat.
“Saya berharap peminat di Malaysia dapat meluangkan waktu untuk menonton persembahan ‘Malam Mendengar’ ini, dan juga menjadi saksi progres yang saya buat sebagai pemuzik dari pertama kali berkunjung ke Malaysia,” tambahnya lagi.
Pengalaman Muzikal Lebih Intim & Eksklusif
Sementara itu penganjur dari Renjana Idea, Siti Azlina berkata, penganjuran ini bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu pengalaman emosional yang lebih intim dan eksklusif antara Nadin dan peminatnya.
“Kami sangat teruja dapat membawa ‘Malam Mendengar’ ke Kuala Lumpur selepas kejayaannya di Jakarta.
“Peminat Malaysia sudah lama menantikan peluang untuk merasai pengalaman unik ini secara langsung. Ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi satu perjalanan muzik yang mendalam dan penuh makna.”
“Kami percaya susunan muzik baharu ini akan memberi pengalaman yang lebih istimewa kepada penonton.
“Ia juga menjadi peluang untuk mereka melihat perkembangan dan kematangan Nadin sebagai seorang artis,” katanya lagi.
Tiket Kini Dijual
Tiket bagi ‘Persembahan Malam Mendengar Nadin Amizah dari Jakarta ke Kuala Lumpur’ telah mula dijual bermula 12 Februari 2025 lalu bermula dengan kategori Tawa iaitu RM658, Sorak Sorai (RM258), Sorai (RM238), Kekal (RM248) dan Bunga Tidur (RM178)
tambahan RM298 juga dikenakan untuk sesi Meet & Greet. Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman muzik yang penuh emosi ini bersama Nadin Amizah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI