Uncategorized

Terima Respons Positif, Ruzana Ibrahim Cari peluang Baru

Share

PELAKON tinggi lampai, Ruzana Ibrahim tidak menolak kemungkinan untuk lebih serius dalam bidang pengacaraan selepas program kendaliannaya, Xtrem Pesona mendapat sambutan yang begitu baik daripada penonton.

Biarpun pada awalnya ia dilakukan hanya sekadar untuk mencuba, namun pelakon drama Isteri Tuan Ihsan ini mengakui mula rasa seronok dengan bidang baru yang diceburinya ini.

“Saya setuju untuk buat program ini kerana tertarik dengan konsep dan kandungannya yang mengetengahkan penglibatan golongan wanita dalam sukan lasak menjadikan saya tidak kekok berada di situ kerana mempunyai kecenderungan yang sama.

 

“Tidak sangka pula ramai penonton yang sukakan penampilan saya dalam program itu, malah ada di antara mereka yang mencadangkan agar saya membuat lebih banyak lagi pengacaraan pada masa akan datang.

 

“Melihatkan respons sebegitu, saya mula berfikir tentangnya dan tidak menolak kemungkinan untuk terlibat dalam program lain pula sekiranya ada peluang yang ditawarkan selepas ini,” katanya.

Mengakui suka mencabar diri untuk melakukan sesuatu yang berbeza, Ruzana tidak kisah jika selepas ini dia ditawarkan dengan program yang lebih serius untuk menguji kemampuan dalam bidang yang baru diceburinya ini.

“Saya memang sukakan program yang lebih fun kerana itulah diri saya yang sebenarnya, namun jika ada tawaran yang sebaliknya, saya akan cuba mempertimbangkannya.

 

“Sebagaimana pelakon yang sentiasa mahu mencuba watak yang berbeza, saya melihat bidang pengacaraan juga begitu di mana kita harus sentiasa bersedia untuk melakukan tugasan yang berbeza untuk menguji sejauh mana kemampuan kita dalam bidang itu,” ujarnya lagi.

Selain dikenali di kaca TV dan layar lebar, Ruzana juga tidak pernah melupakan lakonan pentas yang sentiasa menjadi cinta pertamanya dalam bidang seni ini.

Sentiasa mencari peluang terbaik untuk kembali beraksi di pentas, pelakon versatil ini menyasarkan untuk tampil sekurang-kurangnya sekali setahun untuk dalam lakonan pentas.

“Saya begitu sinonim dengan pentas muzikal sehinggakan ada yang beranggapan saya tidak berminat untuk tampil dalam naskhah teater biasa yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini.

 

“Sebenarnya saya tidak pernah meletakkan kekangan sebegitu sebaliknya sentiasa terbuka untuk mencuba asalkan ia merupakan naskhah yang bagus dan karakter yang diberikan itu bersesuaian dengan saya.

 

“Saya pernah mendapat beberapa tawaran sebelum ini, namun ia tidak dapat dilakukan kerana pertembungan jadual dengan aktiviti seni saya yang lain dan saya anggap mungkin belum rezeki saya untuk mencuba naskhah teater biasa,” katanya yang turut terlibat dalam persembahan Gelora Tarakuchaa bersama Sean Ghazi yang berlangsung di The Garden Theatre baru-baru ini.

Tidak Malu Pergi Casting

Dalam pada sibuk merencana kerjaya seninya, Ruzana yang sebelum ini pernah menggotai trio Luscious mengakui kadang-kala terdetik untuk beralih ke bidang lain kerana kecewa permainan industri yang kini lebih aspek komersial berbanding bakat seseorang.

“Saya tak ada hak atau kemampuan untuk menghalang trend semasa yang kini semakin menjadi pilihan kebanyakan pemain dalam industri dalam mengetengahkan seseorang individu itu.

 

“Sama ada kita suka atau tidak, itulah yang perlu kita hadapi melainkan kita keluar daripada industri dan buat sesuatu yang berbeza.

 

“Jujurnya pernah juga beberapa kali saya berada dalam situasi itu, di mana saya berhasrat untuk bertukar arah ke bidang lain.

 

“Namun setiap kali ingin berbuat demikian, ada sahaja tawaran bagus yang tiba-tiba datang membuatkan saya masih lagi berada di sini sehingga ke hari ini,” luahnya terus-terang.

Berkat kesabarannya juga, bintang filem Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior arahan Bade Hj Azmi ini juga buat pertama kalinya menerima pencalonan awal dalam Festival Filem Malaysia Ke-29 yang bakal menyaksikan malam kemuncaknya pada 23 September ini.

“Ini merupakan penglibatan pertama kali dalam FFM apabila filem lakonan saya, Kanang Anak Langkau: The Iban Warrior turut tersenarai dalam pencalonan awal filem yang bertanding.

 

“Saya melihat ia sebagai permulaan yang baik, malah dalam masa yang sama mengharapkan untuk menimba lebih banyak pengalaman selepas ini.

 

“Namun kalau tidak sebagai calon pun, saya masih juga menghadiri FFM sebagai tanda sokongan kepada industri dan dalam masa yang sama meraikan kejayaan rakan-rakan menerusi kerja keras yang mereka lakukan dalam bidang masing-masing,” tegas Ruzana.

Meskipun sudah dikenali dan membuktikan kebolehannnya dalam lakonan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini tidak pernah menolak untuk menghadiri sesi casting jika diperlukan.

Malah dia tidak pernah melihat ia sebagai sesuatu yang memalukan atau menjatuhkan standardnya sebagai pelakon yang telah dikenali dengan berbuat demikian.

“Saya seorang yang realistik dan tidak pernah merasa diri terlalu hebat sehingga malu untuk menghadiri casting.

 

“Bagi saya sesi tersebut bukanlah bertujuan untuk menguji kita boleh berlakon atau tidak, tetapi lebih kepada melihat kesesuaian seseorang pelakon itu dengan kehendak atau visual yang mereka ingin tampilkan dalam projek terbabit,” katanya.

FOTO: Rosli Talib

Published by
Wawann Mohd