Pihak Pengarah Penguatkuasaan (ED) telah melancarkan serbuan ke atas 15 premis milik ahli perniagaan terkenal, Raj Kundra, yang juga merupakan suami kepada pelakon Bollywood popular, Shilpa Shetty. Serbuan dilakukan di Mumbai dan Uttar Pradesh dalam siasatan berhubung kes pornografi yang melibatkan Kundra.
Antara lokasi yang diserbu termasuk kediaman Raj di Juhu, selain beberapa premis yang dipercayai milik rakan-rakannya. Walau bagaimanapun, peguam Shilpa Shetty, Prashant Patil, menafikan laporan yang mendakwa kediaman pelakon tersebut turut diserbu oleh pihak ED.
“Kes ini masih dalam siasatan, dan Raj Kundra telah memberikan kerjasama penuh bagi memastikan kebenaran dapat ditegakkan. Bagaimanapun, laporan yang menyebut Shilpa Shetty Kundra terlibat adalah tidak benar dan mengelirukan. Dia tidak mempunyai kaitan dengan sebarang kesalahan,” jelas Prashant.
Pada Mei 2022, pihak ED membuka kes pengubahan wang haram terhadap Raj Kundra, berdasarkan laporan polis yang didaftarkan pada tahun 2021 oleh Polis Mumbai. Dalam laporan tersebut, dia didakwa mengendalikan sindiket pornografi melalui platform digital.
Kes ini mendapat perhatian apabila pada Februari 2021, Polis Mumbai membuat tangkapan pertama yang melibatkan wanita-wanita yang didakwa berlakon dalam filem pornografi. Serbuan turut dijalankan di sebuah banglo di Pulau Madh, lokasi di mana filem-filem ini dipercayai dirakam.
Siasatan mendapati lelaki berusia 49 tahun itu merupakan dalang utama yang terlibat dalam penyebaran kandungan pornografi ini melalui aplikasi mudah alih berasaskan langganan seperti HotHit Movies dan Hotshots.
Aplikasi Hotshots, yang asalnya dibangunkan oleh syarikat Armsprime Media milik dirinya pada tahun 2019, kemudiannya dijual kepada Kenrin, sebuah syarikat di UK yang dimiliki oleh adik ipar, Pradeep Bakshi.
Polis Mumbai telah memfailkan kertas pertuduhan terhadap Kundra serta tiga individu lain yang berkaitan dengan kes ini. Selain itu, pihak ED kini sedang meneliti sejumlah besar transaksi kewangan yang dibuat di luar negara untuk mengenal pasti kemungkinan pengubahan wang haram.
Kundra pernah ditahan selama dua bulan di Penjara Arthur Road, Mumbai, pada tahun 2021 sebelum dibebaskan dengan ikat jamin pada September tahun yang sama.
Sumber: Indian Express
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI