Penyanyi Tom mengakui penglibatannya di dalam program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) menjadi platform terbaik buatnya untuk kembali menyinar dalam dunia seni tempatan.
Tom, 36, atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram berkata, dia juga sebolehnya mahu mengubah nasib hidup, meski tidak menafikan saingan sengit daripada barisan bintang yang bertanding.
“Saya nak buat ‘comeback’ balik demi masa depan saya dan anak-anak. Saya memang peminat GV. Cuma sebelum ini saya tak pernah terfikir akan sertai program ini. Siapalah saya kalau nak dibandingkan dengan para peserta lain sebelum ini.
“Mereka ada nama, aku hanya boleh berangan sahaja. Bila diberikan peluang, saya terkejut… biar betul. Rasa macam masih jauh lagi. Tapi Dia berikan peluang ini,” katanya kepada MH.
Ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui dia sebelum ini melakukan khilaf dalam perjalanan kerjaya dalam industri hiburan sebelum lama menyepi.
“Dulu saya pernah ada peluang (selepas muncul juara program realiti), tapi saya tidak gunakan ia dengan sebaiknya.
“Saya mensia-siakan peluang itu, buat keluarga rasa sedih dan kecewakan siapa yang pernah menyokong. Terlalu ghairah dengan kelab malam (penyanyi kelab). Mungkin ketika itu pun usia masih muda.
“Bila tengok kawan-kawan lain sudah berjaya, terdetik juga hati mengapa tidak menggunakan peluang yang ada sebelum ini elok-elok.
“Saya tak layak untuk masuk, tapi siapa yang tidak mahu? Tapi bila tahu senarai artis lain yang turut serta saya terkejut, saya nak luruh jantung. Yang penting impian saya tercapai. Memang nak masuk,” katanya lagi.
Terdahulu, Astro mengumumkan 13 penyanyi yang bakal terbabit dalam pertandingan nyanyian itu yang terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, enam penyanyi solo wanita dan satu penyertaan berkumpulan.
Selain Tom, lima bintang solo wanita yang memberi saingan kali ini ialah Dina Nadzir, Pat Candy, Haida Hasnan, Shila Amzah dan Jaclyn Victor.
Sementara itu, senarai penyanyi solo lelaki yang turut menyahut cabaran musim ini ialah Roy Kapilla, Fuad Rahman, Hazrul Nizam, Bob Yusof, Tomok dan Asheed. Bagi penyanyi berkumpulan pula diwakili oleh VE yang dianggotai oleh Zaf, Cham, Adeeb dan Hakim.
Konsert pertama GV9 akan bermula 18 September depan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.