Penyanyi dan komposer Zul 2 By 2 mendedahkan dia bersama ahli kumpulan lain sedang dalam perancangan untuk mengadakan sebuah showcase khas selepas lebih 25 tahun terlibat dalam dunia seni.
Apa yang menarik, Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Majid, 51, berhasrat untuk mengumpulkan vokalis wanita yang pernah berduet dengan mereka ke persembahan istimewa itu.
“Masih lagi dalam perbincangan dan memang ada hasrat kami untuk mengundang vokalis wanita yang pernah berduet bersama, termasuk Liza Hanim dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.
“Apa pun, perkara itu masih awal untuk dikongsikan, namun besar impian kami sebenarnya untuk kembali membuat persembahan di atas pentas besar memandangkan sudah agak lama kami tidak muncul bersama di dalam mana-mana persembahan komersial.
“Kalau jadi realiti, memang kami sambutnya dengan baik. Kalau dapat dilakukan secepat mungkin pun kami tiada masalah, namun ia bergantung kepada jadual artis terbabit. Doakan ia menjadi kenyataan, insyaAllah,” katanya.
Zul yang baharu mendirikan rumah tangga bersama wanita pilihannya, Intan Maya yang juga bekas anggota kumpulan The Girls berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dangau 2 By 2, di Kampung Melayu Subang, Selangor baru-baru ini.
Medan selera yang telah pun memulakan operasinya itu setiap hari diusahakan Zul bersama ahli kumpulan 2 By 2, Faizal.
Ia menawarkan pelbagai jenis menu lazat dengan konsep santai termasuk ruang duduk bersila turut disediakan.
Antara menu istimewa yang boleh dinikmati termasuk pelbagai juadah ikan bakar, sate, makan Korea, makanan barat, lontong kering, air kisar, bihun sup, kari kambing, asam pedas, aneka sup, masakan kampung dan pelbagai lagi.
Menurut Faizal, Dangau 2 By 2 Food Station mula beroperasi sejak Ramadan lalu dan mempunyai kapasiti 28 buah gerai yang mana 13 daripadanya sudah beroperasi.
“Medan selera ini sebagai satu persediaan dan alternatif bagi menjana pendapatan selepas kita berdepan dengan pandemik seperti sebelum ini.
“Ia juga menawarkan ruangan makan selesa untuk seisi keluarga dengan aneka menu yang dijamin sedap,” katanya.
Zul menambah sebagai kelainan, medan selera itu juga digunakan sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu yang lebih segar.
“Dengan pengalaman yang saya miliki, saya mahu berkongsi peluang dengan mereka yang berbakat untuk mencuba nasib dalam bidang seni.
“Selain menjamu selera, tetamu yang hadir turut boleh menyaksikan para peserta bertanding membuat persembahan,” katanya lagi.
Terdahulu pada majlis pelancaran, turut dilangsungkan ialah pertandingan akhir karaoke yang menyaksikan 14 peserta bersaing bagi merebut gelaran juara.
Majlis perasmian premis berkenaan turut dikongsikan Zul menerusi laman Instagram miliknya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@mediahiburanofficial TERINGAT LAGU MAWARKU DUET DENGAN TOKTI! Masih lagi aktif menyanyi dan bikin lagu, Zul 2 By 2 dan rakan niaga kini sukses buka Dangau 2 By 2 Food Station di Kampung Melayu Subang. Suka lagu-lagu mereka! #MHnews #MediaHiburan #fyp ♬ original sound – Media Hiburan