“Ternyata Wujud Lelaki Baik…,” – Fokus Hubungan Untuk Tingkatkan Amal Ibadah, Oktovia Manrose Bahagia Kehidupan Berumah Tangga

Share

Selepas hampir tiga bulan melayari kehidupan berumah tangga, pelakon, Oktovia Senrose menzahirkan rasa syukur kerana dipertemukan dengan seorang suami yang baik dan menerima segala baik dan buruknya.

Menurut Oktovia atau nama sebenarnya, Wan Syamira Putri Oktovia Wan Syahman, selain daripada mengenali hati budi masing-masing, dia dan suami yang juga merupakan bekas pemain bola sepak professional, Mohamad Khairul Efsan Md Isa kini sedang dalam usaha untuk mendekatkan diri dengan agama.

“Saya pun masih tak dapat nak ungkapkan perasaan ketika ini. Kami masing-masing memang sangat menantikan detik untuk mendirikan rumah tangga. Bila saya dipertemukan dengan lelaki sebaik Efsan, perasaan itu memang tak disangka-sangka.

“Saya memang tak jangka langsung. Kehidupan saya yang dulu pun berbeza dengan sekarang. Ternyata wujud sebenarnya lelaki yang baik seperti suami saya ini. Saya sangat bersyukur. Kehidupan kami ketika ini memang sangat-sangat bahagia.

“Fokus perhubungan kami ketika ini adalah untuk memperbanyakkan amal ibadah serta memberi penekanan terhadap kehidupan di dunia dan akhirat,” katanya kepada MH.

Pelakon drama bersiri Hero itu berkata sedemikian dalam satu temuramahnya bersama MH, baru-baru ini.

Malah, Efsan juga akui gembira kerana segala urusan rumah tangga mereka seakan dipermudah sejak daripada awal.

“Perkahwinan kami pun baru berusia tiga bulan. Walaupun kami ada kekurangan masing-masing tapi saya dan isteri seperti saling melengkapi. Perasaannya memang seronok. Ia seperti perhubungan yang mendapat berkah.

“Apa yang kami buat dan rancang, semuanya berjalan dengan lancar dan serta dipermudahkan. Rezeki pun makin murah. Kami juga ingin menjalani kehidupan normal seperti orang lain. Tak perlulah kami nak update segalanya di media sosial,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan untuk memiliki cahaya mata, Oktovia memaklumkan dia tidak menolak dengan segala perancangan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT terhadap dirinya.

“Sekarang belum lagi. Bila bercakap mengenai soal cahaya mata ini, kami sebenarnya tidaklah terlalu nak buat perancangan. Kami pun tak menolak. Kalau ada rezeki, kami memang ingin punyai zuriat. Hubungan kami pun masih baru. Doakan semoga kami dikurniakan rezeki.

“Kalau saya ditakdirkan untuk dikurniakan zuriat, kemungkinan kami tidak akan terlalu terbuka ketika diperingkat awal. Kalau orang nampak pun, biarlah mereka menilai sendiri.

“Saya menginginkan sebegitu. Kalau boleh, saya nak elakkan daripada terjebak dengan perkara-perkara negatif. Saya cuma risau kerana diperingkat awal ini, macam-macam perkara boleh berlaku.

“Lebih baik kami simpan perkhabaran itu terlebih dahulu. Perkara ini pun demi kebaikkan juga. Bila kandungan dah betul-betul kuat, pada bulan kelima atau keenam kami akan kongsikan,” katanya lagi.

Sekadar informasi, Oktovia dan Efsan baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tanggal 21 Disember lalu.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Oktovia dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Rayyan Zulkarnain, 11.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber foto: Instagram Oktovia Manrose

Published by
Aizam Manaf