Wany Hasrita mengakui dia tidak kisah untuk dipanggil dengan panggilan Hajah atau nama penuhnya sahaja apabila sekembalinya dari mengerjakan haji pertengahan Ogos depan.
Katanya seperti yang dipetik Harian Metro, dia akan menunaikan Rukun Islam kelima itu sehingga 16 Ogos ini bersama rakan penyanyi, Amira Othman.
“Sebaik pulang nanti, terpulanglah jika mahu memanggil saya Hajah. Jika tidak, panggil saja Wany Hasrita,” katanya seperti yang dipetik.
Terdahulu, penyanyi lagu Terlalu Memuja ini mengakui tawaran menunaikan haji itu diterimanya daripada kerajaan Arab Saudi dan semuanya terjadi dalam tempoh begitu singkat.
“Mengikut perancangan awal, saya mahu membawa ibu tetapi dia tidak berkesempatan. Jadi, saya mengajak Amira dan ia pengalaman pertama menunaikan ibadah ini,” terang Wany yang tidak menafikan perasaan yang bercampur-baur.
“Jadi, saya meminta bantuan rakan artis, Heliza Helmi untuk mendapatkan nasihat ustaz yang mengendalikan kursus haji secara peribadi,” kongsinya selain turut meminta tunjuk ajar dari Profesor Dr Muhaya Mohamad berhubung panduan sepanjang berada di sana.
“Doa saya adalah memperoleh haji mabrur. Sebenarnya saya dalam keadaan tidak bersedia namun sebaik berfikir semula perlukah bila menjengah usia tua baru bersedia,” jelas Wany.
Pada masa sama, bintang berusia 27 tahun ini juga memberitahu, dia tidak semestinya meninggalkan dunia seni apabila pulang ke tanah air kelak.
Bagi Wany, dia lebih selesa untuk melihat perubahan itu hadir sedikit demi sedikit.
“Segala isi hati dan amal ibadah biarlah Allah yang menentukan. Saya merasakan seperti mimpi dan tidak pernah terfikir untuk menunaikan haji dalam usia sebegini,” akhirinya.
Foto: Instagram Wany Hasrita, Amira Othman
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI