Dilihat relak dalam menghadapi dugaan selepas seluruh keluarganya menjadi bahan hinaan pengacara popular Azwan Ali, anak kepada usahawan Datuk Seri Vida, Cik B, sejujurnya akui dia masih tidak menyangka kata-kata tersebut datang daripada seorang lelaki yang dia hormati.
Malah jelas Cik B atau nama sebenarnya, Edlynn Zamilleen Muhammad Amin, dia mengenali Azwan Ali atau lebih popular sebagai Diva AA sebagai seorang yang sangat baik dan merendah diri.
“Saya seperti tidak percaya Uncle Azwan boleh katakan begitu kepada mama kerana dia sangat baik dan merendah diri. Namun apabila dia keluarkan kata-kata begitu, saya tidak percaya itu diri dia.
“Saya terkejut dan menyesal kerana saya minat dia. Saya tengok sekali sahaja video tersebut kerana tidak sanggup mendengar makian terhadap mama, saya sedih.
“Saya ingin berpesan kepada Uncle Azwan Ali supaya dia tidak lagi mengeluarkan kata-kata tidak elok. Saya berharap kita dapat selesaikan dengan cara baik dan tidak perlu saman menyaman.
“Saya harap Azwan dapat memohon maaf supaya semuanya selesai,” jelasnya kepada MH.
Gadis ini turut mempersoalkan tindakan Diva AA yang didakwa mempersenda kematian dua abangnya dalam tragedi kebakaran serta mengaitkan anggota keluarga dalam pertelingkahan bersama ibunya.
“Saya tertanya-tanya mengapa dia perlu katakan begitu kepada arwah abang saya? Mereka sudah meninggal dunia dan tiada salah pun dengan Uncle Azwan Ali.
“Dia bukan sahaja memaki mama, namun kepada saya juga. Pada mulanya dia hanya memaki mama namun selepas saya melayangkan status di Twitter, di mula menyerang saya pula.
“Saya hanya menganggap ia sebagai gurauan, namun tidak sangka menjadi begini,” katanya sejurus sidang media yang dianjurkan ibunya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengambil pendekatan positif dan tidak mahu tenggelam dalam emosi, usahawan muda ini menambah, ibunya perlu diberi sokongan kuat daripada segi mental dan emosi.
Sebab itulah, Cik B dilihat sering berseloroh dengan gurauan demi memujuk ibunda tercinta.
“Walaupun saya nampak bersahaja, namun sejujurnya saya sedih melihat mama menangis, cuma saya tahan air mata. Saya malu menangis di hadapan orang.
“Saya memujuk mama dengan cara yang santai dan gurauan. Saya katakan apa sahaja kutukan itu sebenarnya berbalik kepada diri sendiri. Macam dia katakan mama gemuk, jadi saya balas, tidak perlu risau kerana Uncle Azwan pun gemuk juga (ketawa),” ulasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Vida memfailkan tuntutan saman malu terhadap Azwan Ali di mana menurut tuntutan berkenaan, Azwan Ali diminta membuat permohonan maaf secara terbuka atas segala penghinaan terhadap DSV dan anak-anaknya dalam masa 48 jam di media sosial.
Malah, Vida turut menuntu Azwan untuk menandatangani perjanjian menarik kembali kenyataan dan video yang dimuat naik di laman sosial miliknya.
Terkini, Azwan menerusi satu sidang media di Putrajaya, memohon maaf dan melunaskan kesemua tuntutan yang dikenakan terhadapnya.
Ikuti sidang media penuhnya di sini;