Selepas hampir tiga tahun menyepi, kumpulan Akim & The Majistret (ATM) tampil dengan buah tangan terbaharu yang berjudul Saksama.
Menurut vokalisnya, Akim Ahmad, tempoh tersebut sememangnya merupakan waktu berehat buat dirinya bagi memberi tumpuan terhadap keluarga dan kerjaya sebagai pencipta lagu.
“Memang agak lama dan saya sendiri sedar perkara itu. Saya dan isteri berehat sekejap. Kami aktif buat lagu untuk artis lain dan pada masa sama, kami baru dikurniakan cahaya mata ketiga.
“Jadi, banyak masa saya itu dihabiskan untuk melihat anak membesar. Tapi berkat daripada semangat yang diberikan oleh anak dan keluarga, hari ini saya datang bersama ATM untuk lagu terbaharu berjudul Saksama.
“Single terbaharu ini dicipta sepenuhnya oleh setiap anggota kumpulan ini sendiri. Liriknya pula daripada Bunga Cantik yang juga adalah isteri saya, Stacy dan ia menjadi satu gandingan yang tiada dua,” katanya kepada MH.
Akim berkata sedemikian ketika ditemui di majlis pelancaran dan showcase Saksama yang berlangsung di The Face Suites, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Sementara itu, gitaris ATM, Zimi turut memaklumkan Saksama ini merupakan teaser bagi album ketiga mereka yang dijangka bakal siap sepenuhnya pada akhir tahun ini.
Malah, ia juga merupakan hadiah buat peminat memandangkan mereka tidak berkesempatan untuk menerbitkan album kedua berikutan fasa pandemik yang melanda negara.
“Secara teknikalnya, lagu Saksama ini akan dimuatkan di dalam album ketiga kami. Lagu-lagu hits kami seperti Rampas dan Stereotype pula tak sempat untuk kami rangkumkan menjadi album.
“Namun, kesemua lagu yang sepatutnya dimuatkan didalam album kedua telah pun diterbitkan dalam bentuk single. Cuma tiada fizikal.
“Niat untuk gabungkan lagu di dalam album kedua dan ketiga juga masih dalam perancangan kerana konsepnya juga berbeza.
“Pada saya, Saksama adalah permulaan baharu untuk perjalanan ATM seterusnya. Saya gembira dengan apa yang terhasil sekarang ini,” katanya.
Dalam pada itu, Akim turut memaklumkan ATM turut mempunyai impian untuk mengadakan konsert sendiri memandang band tersebut bakal menginjak usia sedekad tahun hadapan.
“Sekarang ini kami dalam fasa untuk menyiapkan album terbaharu ATM.
Selepas selesai, kami akan ke fasa untuk mengadakan konsert dan siri jelajah ke lokasi terpilih.
“Saya berharap peminat dapat bersabar dan berdoa supaya kami diberi kemudahan untuk selesaikan album ini sebelum beralih ke fasa seterusnya,” ujarnya lagi.
Terdahulu, single Saksama telah pun dilancarkan diseluruh platform penstriman dan muzik video pula boleh ditonton di saluran Youtube, Nova Music.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.