Susulan kekangan dan situasi semasa pandemik COVID-19, penyanyi Haqiem Rusli bakal merealisasikan hasratnya dengan menganjurkan konsert secara maya.
Konsert berdurasi lebih sejam itu akan berlangsung pada 2 April depan itu anjuran syarikat rakamannya, FMC Music dan YTJT Production.
Haqiem Rusli sebelum ini pernah mengadakan konsert sulungnya pada Oktober tahun 2019 di sebuah premis acara di Cheras menghiburkan lebih 1000 peminatnya.
Malah, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular edisi ke-33 itu juga pernah mensasarkan untuk mengadakan konsert keduanya tahun ini, cuma situasinya sahaja yang berbeza.
“Tak dapat buat konsert skala besar besaran untuk peminat secara normal, saya akhirnya dapat cetus idea melaksanakannya secara maya.
“Dalam tempoh sebulan bersama pasukan saya melakukan sesi percambahan media, kita sepakat teruskan konsert cara norma baharu ini,” katanya.
Penyanyi yang mula meniti populariti menerusi lagu Tergantung Sepi itu turut memaklumkan dia mungkin akan menyanyikan sekitar 10 buah lagu pada konsert berkenaan.
“Selain lagu sendiri, saya juga teruja nak menyanyikan dua buah lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza secara medley. Dua lagu berkenaan ialah Cindai dan Nirmala.
“Tak ketinggalan lagu sendiri termasuk sebuah karya yang tak pernah saya lancarkan di mana mana platform pun,” katanya.
Kata Haqiem lagi, tiket dijual pada harga yang cukup berpatutan.
“Yang beli awal saat ini, harga tiket dalam RM59. Nanti kembali kepada harga biasa RM79.
“Saya harap konsert ini akan terus jadi saksi menghubungkan diri ini dengan peminat, yang nak dapatkan tiket boleh beli di pautan profil Instagram saya,” katanya yang kini hist menerusi lagu Mimpi.
Lagu berkenaan juga merupakan runut bunyi untuk drama rantaian Bidadari Salju sebelum ini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI