Hiburan

Teruk Dikecam Walau Posting Hal Agama, Aliff Aziz Minta Henti Menghukum

Share

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz akui agak terkilan apabila ibunya Siti Hafiza Basharahil kerap menjadi mangsa kecaman netizen sejak akhir-akhir ini.

Meskipun mengakui situasi ini berpunca daripada kes penceraiannya bersama bekas isteri Bella Astillah dan terpalit kes khalwat dengan pelakon Ruhainies, namun, Aliff menegaskan dia dan ibunya juga mempunyai hati dan perasaan sama seperti orang lain.

“Sebagai seorang anak, mestilah saya kecewa dan sedih. Namun, bila melihat lebih mendalam, ia juga berpunca daripada kekurangan dan kesilapan saya.

“Saya yang meletakkan ibu di posisi sebegitu. Namun, saya berharap sangat kepada semua, walau apapun pendapat yang anda ada, kami juga manusia biasa seperti orang lain.

“Saya bukan nak samakan hidup kami dengan semua orang tapi kami juga manusia biasa yang ada buat salah dan silap serta ada perasaan,” katanya kepada MH.

Pelakon drama ‘Terjerat’ itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui selepas prosiding pertuduhan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bagaimanapun, pelakon asal Singapura ini berharap agar semua pihak mengawal percakapan dan hantaran-hantaran yang dikongsikan di media sosial.

“Apa sahaja pendapat anda, saya hormatinya. Semua orang berhak memberikan pendapat. Namun, berpada-padalah dalam mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak baik.

“Perkara ini juga merupakan peringatan untuk saya. Apa yang kita kongsi dan tulis di media sosial ini sangat bahaya lebih-lebih lagi di era media sosial ini. Segalanya di hujung jari,” ujarnya lagi.

Pada masa sama, Aliff memohon semua pihak untuk tidak mudah menjatuhkan hukuman bila dia dan ibunya berkongsi hantaran berkaitan agama di media sosial.

“Bila saya atau ibu ada memuat naik hantaran berkaitan agama dan bukan isu kontroversi, ada pula yang kata baru sekarang kami nak memuat naik hantaran sedemikian.

“Pada saya, kita tak perlu jadi baik untuk sebarkan perkara baik. Saya mengharapkan bila berkongsi hantaran sedemikian, Allah beri kebaikkan kepada saya juga.

“Jadi, saya minta kepada semua, daripada kita berkata yang bukan-bukan atau kata kesat, lebih baik kita menitipkan doakan.

“Kalau tiada benda baik untuk diperkatakan, lebih baik kita tak perlu cakap apa-apa,” katanya.

Ketika ditanya mengenai emosi ibunya, Aliff mendedahkan semuanya semakin okay dan memohon doa yang baik-baik.

“Saya minta kepada semua, daripada kita bercakap bukan-bukan atau pun bercakap kesat, lebih baik kita tak bercakap apa-apa.

“Mengenai emosi ibu saya, dia semakin baik sekarang. Doakanlah semoga semua pihak diberikan semangat dan kekuatan untuk maju ke hadapan serta menjadi lebih baik,” katanya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf