Penyanyi dan komposer, Aina Abdul berlapang dada apabila menerima peluang untuk tampil bersama dengan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza di atas satu pentas pada malam kemuncak Big Stage 2022, malam tadi.
Menerusi persembahan tersebut, Aina menyampaikan lagu Purnama Merindu sementara Siti mengalunkan lagu Semalam sebelum keduanya menyelitkan ‘mash up’.
“Saya sambut dengan hati yang terbuka. Mimpi yang menjadi nyata untuk saya. TokTi dan Kak Rozi yang cadangkan saya untuk menyanyikan lagu Purnama Merindu. Rasanya mungkin sebab mereka ada nampak saya buat ‘cover’ lagu tersebut sebelum ini.
“Lagu ‘cover’ pertama saya di YouTube ialah Purnama Merindu. Saya terus ‘on’, tak kisah lagu apa beliau nak pilih, saya akan cuba belajar. Apa yang kalian lihat malam tadi itu ialah perancangan yang dibuat dalam tempoh singkat.
“Apa yang kami persembahkan itu adalah perancangan yang dilakukan hanya menerusi WhatsApp sahaja. Petang sebelum malam final kami ada praktis untuk kali yang pertama. Jadi apa-apa kekurangan dari pihak saya, saya minta maaf,” katanya.
Ditanya mengenai kesempatan yang diberikan untuk bergandingan dengan Siti, Aina tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya.
“Peluang untuk berada di atas satu pentas bersama beliau saya sentiasa menunggu. Banyak kali saya kongsikan ini kepada ‘team’. Bukan sahaja minat, tapi obses. Malah mak saya pun meminati beliau.
“Untuk saya berduet bersamanya walau hanya dalam tempoh lima minit sahaja, saya bersyukur dan saya gembira. Beliau berikan saya aura positif hari ini. Beliau sambut saya dengan tangan terbuka,” katanya lagi.
Menurut Aina lagi, pada awal perasaannya bercampur baur memikirkan reaksi yang bakal diberikan peminat.
“Jujurnya saya pun ‘struggle’ sebab kalau saya nyanyikan lagu Tokti, mesti rasa nak terikut-ikut caranya. Sebenarnya bila dapat peluang ini, saya gembira tetapi tertekan pada masa sama. Sebab saya sedar, peminat akan ada yang ‘critical listening’ dan saya hargainya.
“Cuma rasa takut juga kalaulah apa yang saya bawa di bawah jangkaan mereka. Tapi apa yang saya belajar daripada Tokti, beliau menyanyikan lagu saya dengan caranya yang tersendiri dan saya terpanggil untuk turut perlu melakukan sesuatu.
“Saya tidak tahulah bagaimana yang kalian dengar. Cuma dalam tempoh singkat itulah yang apa boleh saya persembahkan,” katanya lagi yang anggun mengenakan persalinan dwi-rona daripada Rizman Ruzaini.
Aina turut dilantik mengisi posisi sebagai juri jemputan, malam tadi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.