Setiap tahun jenama majalah popular antarabangsa, People, akan mengeluarkan senarai panjang pencalonan lelaki paling seksi sebagai persediaan untuk mencari pemenang seterusnya.
Setelah diadili dan menerusi pengamatan sepanjang tahun, gelaran tersebut telah sebulat suara diberikan kepada pelakon, penulis dan pengarah, John Krasinski.
Menariknya, jejaka berusia 45 tahun itu itu berjaya mengalahkan nama-nama besar lain seperti Jonathan Bailey, Sebastian Stan, Austine Butler dan ramai lagi.
Saat mengetahui dirinya menang gelaran itu, John dalam temubual bersama majalah popular tersebut menyatakan rasa tidak percaya dan terkejut.
“Terus rasa seperti blackout sebenarnya. Selain terfikir, adakah saya sedang diperdayakan?
“Saya tidak pernah bangun pagi dengan memikirkan, adakah hari ini saya akan dinobatkan sebagai Lelaki Paling Seksi? Anda benar-benar menaikkan standard untuk saya,” ucapnya.
Memulakan kerjayanya dalam dunia seni sejak berusia 21 tahun. John bermula sebagai seorang pelatih industri bagi rancangan bual bicara popular Late Night with Conan O’Brien.
Namun begitu, dia hanya menceburkan diri dalam dunia lakonan selepas tamat pengajian di universiti dengan berjinak-jinak sebagai pelakon tambahan dan model komersial.
Kerjayanya melonjak tinggi apabila membintangi siri komedi The Office sebagai watak utama dan itu menjadi titik tolak dirinya mengembangkan bakat sehingga berjaya duduk di kerusi pengarah.
Merupakan suami kepada pelakon Emily Blunt, pasangan yang berkahwin pada 2010 ini dikurniakan dua orang cahaya mata perempuan, masing-masing berusia 10 dan lapan tahun.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan