“Tetap Solat Supaya Tak Tinggal,” – Tak Pasti Surau Mall Ditutup Atau Tidak, Nubhan Cari Alternatif Dirikan Solat Dalam ‘Fitting Room’

Share

Berikutan situasi semasa yang mana bilangan individu terjangkiti pandemik COVID-19 masih tinggi di negara ini, ruangan sempit dan padat dengan orang ramai seperti surau di dalam pusat beli belah misalnya mungkin ditutup sementara bagi mengekang jangkitan virus tersebut bertambah.

Bagaimanapun, hal tersebut membuatkan penyanyi Nubhan Ahamad mencari alternatif sendiri untuk menunaikan tiang agama.

Malah, perkara tersebut turut dikongsikan penyanyi yang kini muncul dengan single terbaru, Sekali Lagi bersama Siti Nordiana dalam bentuk video di Instagram.

Bintang berusia 34 tahun itu mendedahkan cara mudah dengan menggunakan ruang ‘fitting room’ di sebuah premis pakaian untuk menunaikan solat.

“Sekarang ni kalau pergi mall, surau semua tutup. Jadi apa yang kita kena buat adalah, menggunakan segala kemahiran kepala otak yang ada ni untuk tetap solat supaya tidak tinggal,” katanya di dalam video berdurasi kurang 2 minit itu.

Nubhan bagaimanapun, tidak pula mendedahkan lokasi pusat beli-belah yang dikunjunginya.

Di dalam video berkenaan juga, Nubhan dilihat mengambil wudhu terlebih dahulu sebelum membawa sehelai baju kemeja ke bilik persalinan sebuah butik pakaian sebelum menunaikan solat.

”Adoila… tapi surau mall ni sya x tau tutup ke tak. Sebab jauh dan malas nak tawaf, so nilah cara paling senang,” tulis Nubhan pada ruangan kapsyen.

Serentak dengan itu, video yang sudah pun ditonton hampir 75,000 kali itu mendapat reaksi positif daripada rata-rata pengikutnya di laman sosial berkenaan.

Turut kelihatan di dalam video tersebut ialah isterinya, Afifah Tawfek.

Foto: Instagram Nubhan

Published by
MH