“Tak tahu, suatu hari yang biasa saya tiba-tiba nak tahu lebih tentang agama.” Itu pengakuan pelawak dan hos, Nabil Ahmad,38, yang kebelakangan ini dilihat semakin berubah dari segi penampilannya.
Malah menerusi kebanyakan program hiburan yang dikendalikan, peminat mendakwa dia lebih relak ketika mengacara selain kerap menyelitkan kata-kata positif kepada penonton.
“Kawan-kawan saya rupa-rupanya ada yang menyertai tabligh. Mereka ada kalanya lepak dengan saya, pakai pun lebih kurang macam saya.
“Akan tetapi mereka solat tidak tinggal, tahu mengenai cerita agama dan sebagainya. Kemudian saya tanya mereka belajar agama dekat mana,” katanya.
Menurutnya lagi, apa yang dipelajarinya itu turut dikongsi bersama isteri, Zira Ayub yang kini sudah pun bertudung.
“Bukan setakat kongsi, malah saya turut mendoakan dia. Itulah, bila Allah SWT berkehendak, semua perkara akan jadi. Doakan dia juga agar terus istiqamah (bertudung). Kita ni hari-hari cuba. Cuma kena minta doa daripada semua.
“Nak istiqamah ni susah. Kena minta tolong dengan orang. Kalau sendiri kata ‘aku dah boleh ni atau dah jadi ni’, ia tak kan menjadi. Kena minta juga doa ramai barulah jadi, insya-Allah,” katanya lagi.
Ketika ditanya apa reaksi sesetengah pihak melihat penampilannya ketika ini, penerima trofi Bintang Paling Popular di ABP 2008 ini bersyukur kerana mereka boleh menerimanya dengan baik.
“Alhamdulillah… sebelum ini saya ingat bila begini, klien mungkin kata tidak boleh ada jambang apa semua. Tetapi itulah, kita ni suka sangat buruk sangka dengan Allah.
“Lalu Dia tunjukkan, semua elok je dengan saya, malah layanan mereka itu lebih baik. Saya betul-betul tak sangka sebenarnya.
“Bila begini, saya buat untuk diri saya saja, tak ambil pot kalau ada orang yang nak terima atau sebaliknya. Alhamdulillah, semuanya dipermudahkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Nabil bakal muncul menerusi program kerohanian bersama selebriti popular, Neelofa berjudul NTN (Nabil To Neelofa) tidak lama lagi.
Foto: Instagram Nabil Ahmad