Penghibur senior, Salamiah Hassan tidak mampu memberikan pandangan mengenai prosedur kecantikan terkini yang ada diamalkan individu seusianya demi memastikan penampilan tampak lebih menawan dari usia sebenar.
Katanya ia keputusan individu dan apa yang lebih penting, dia lebih senang untuk menjaga diri-sendiri tanpa mempedulikan orang lain.
Salamiah bagaimanapun mengakui ada melakukan rawatan kulit sejak usianya 47 tahun.
“Saya tidak boleh memberikan pandangan kepada mereka yang melakukan perkara tersebut (botox atau rawatan kecantikan lain). Itu pendirian masing-masing. Tetapi saya hanya risaukan mengenai diri sendiri.
“Saya tidak kisah apa yang orang lain lakukan. Kalau anda rasa ia betul, terserah. Tetapi setakat mana yang saya tahu, saya akan sebaiknya jaga diri sendiri. Saya pentingkan menu yang diambil, jaga kesihatan dan sebagainya. Pada masa sama, cuba jaga hubungan denganNya juga,” katanya kepada MH.
Melewati beberapa dekad memeriahkan dunia seni bersama genre muzik tersendiri, bintang ini turut ditanya sejauh mana pendiriannya untuk terus menghiburkan peminat.
Jelasnya, dia teguh bediri atas nama seni dan kecintaannya terhadap nyanyian selain tidak mahu terlalu bergantung harap kerana anak-anak yang sudah mempunyai keluarga masing-masing.
“Saya masih meneruskan kerjaya kerana saya tidak mahu menyusahkan anak-anak. Saya seorang yang tidak gemar bergantung kepada orang lain. Saya wanita berusia yang positif, bila anak-anak saya senang, saya gembira.
“Syukur alhamdulillah setakat ini, anak-anak baik-baik sahaja. Itu yang saya utamakan. Malah saya pernah beritahu kepada mereka, setakat ini Mama boleh jaga diri, tetapi kalau Mama sudah sakit, tak boleh berjalan jadi kamu perlu menjagaku,” katanya yang bersyukur kerana masih diberi kesihatan yang baik demi meneruskan kelangsungan hidup.
Malah, ramai yang turut kagum dengan semangat kuatnya yang masih bertenaga saat membuat persembahan pentas.
“Ada juga yang tanya macam mana kau menyanyi pakai kasut tinggi sampai dua jam berdiri. Selama 48 tahun dalam industri, saya bersusah payah bermula dari bawah.
“Akan tetapi jauh di sudut hati, saya sedar yang diri ini akan undur diri dalam seni, tetapi saya sendiri tak tahu bila,” akui Salamiah yang mesra disapa Mama ini.
Terdahulu, penyanyi Menghitung Hari ditemui pada majlis memperkenalkan duta jenama Secret Modest by Asfarena di Seksyen 14, Shah Alam baru-baru ini.
Jenama pakaian Secret Modest by Asfarena milik usahawan Datuk Asfarena Samion melantik Salamiah sebagai duta.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana masih ada pihak yang menawarkan saya rezeki meski rasanya ramai lagi bintang di luar sana yang tak kurang baik dari segi cita rasa fesyennya.
“Apa pun terima kasih atas kepercayaan dan pastinya, saya terima tawaran tersebut kerana keikhlasan pihak mereka dan pada masa sama, koleksinya juga sesuai serta praktikal,” katanya yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahiran ke-68 hari ini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI