Harian Metro sebelum ini ada melaporkan bahawa pelakon, Taufiq Hanafi pernah mengalami tekanan perasaan ketika berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) gara-gara penularan wabak Covid-19 sebelum ini.
Menurut Taufiq, tekanan tersebut ada kalanya tidak dapat dikawal sehingga dia dikatakan pernah terdetik untuk terjun daripada balkoni rumahnya.
“Banyak perkara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan apabila diumumkan PKP dan kini Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, saya bimbang dengan kesihatan mental saya.
“Saya tinggal sendirian dan apabila berkurung dalam rumah dalam satu tempoh agak lama seperti PKP lalu, tak ada sokongan untuk mental saya.
“Bila berdiri di balkoni rumah dan tengok ke bawah, rasa macam nak terjun,” katanya seperti yang dipetik.
Artikel tersebut kemudiannya menjadi buah mulut lalu turut menerima reaksi pelbagai warga maya.
Meninjau ke ruangan Twitter, ada di antara mereka yang dilihat seolah-olah mempersenda masalah yang dialami pelakon filem Paskal itu.
Malah, terdapat juga beberapa individu yang seolah-olah menggalakkan Taufiq untuk terjun sahaja daripada bangunan rumahnya itu.
Bagaimanapun, masih ada selintir peminat yang meluahkan rasa simpati selain turut memberikan kata-kata semangat buatnya.
Mereka turut berpendapat bahawa kebanyakan daripada kita dilihat masih belum bersedia untuk berbicara mengenai masalah berkaitan.
Terdahulu, Taufiq baru sahaja muncul menerusi telefilem berjudul Pasal Kau yang ditayang di platfrom penstriman, Netflix.
Selain Taufiq, Pasal Kau turut dibintangi beberapa pelakon hebat lain sepeti Hairul Azreen, Janna Nick, Namron dan ramai lagi.
Sumber: Harian Metro & Twitter Harian Metro