Pernah mengharungi fasa susah ketika awal perkahwinan, penyanyi, Tajul Ariff menyifatkan perkara tersebut secara tidak langsung telah mematangkan dia dan isteri untuk terus bertahan menjalani bahtera rumah tangga.
Menurut Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md. Shari, suami dan isteri harus berkomunikasi dengan baik untuk menyelesaikan setiap masalah yang berlaku di dalam rumah tangga.
“Ada satu ketika, saya berada dalam keadaan yang agak susah. Pada waktu itu, saya masih lagi mencari tapak untuk memulakan hidup berumah tangga dan kukuhkan kewangan.
“Bermula saat itu, saya dan isteri mula belajar yang kita tidak akan sentiasa berada di atas. Ada masa kita di bawah. Barulah kami terfikir nak memulakan bisnes.
“Pucuk pangkalnya, kita perlu ada perbincangan diantara suami isteri. Kita kena ada perancangan. Bila ada masalah, apa yang perlu kita buat?
“Bila dah dapat apa yang kita mahukan pula, kena ingat ketika fasa susah. Ingat cabaran nak sampai ke tahap ini. Bila kita ingat waktu susah, kita tak akan sia-siakan apa yang kita capai sekarang,” katanya kepada MH.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Sedalam-Dalam Rindu itu turut mendedahkan dirinya juga turut terkena tempias mengenai kisah-kisah pergolakkan rumah tangga melibatkan para selebriti.
“Biasalah perempuan. Bila dia baca mengenai kisah rumah tangga melibatkan para selebriti, dia pasti akan teringatkan saya.
“Tapi bagi saya mudah sahaja. Kita tak tahu nasib dan jodoh kita macam mana. Apa yang berlaku di luar, itu bahagian orang lain. Andai Allah kata jodoh kita berpanjangan, Alhamdulilah,” ujarnya lagi
Adik kepada penyanyi Allahyarham Achik Spin itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama syarikat rakaman artis, FMC Music di Hotel Tenera, Bangi baru-baru ini.
Pada masa sama, Tajul turut mengigatkan mereka yang ingin mengikut jejak langkahnya untuk berkahwin awal agar mempersiapkan diri sebelum membuat keputusan besar tersebut.
“Berkahwin muda ini ada susah dan senangnya. Ada manis dan pahit. Perasaannya bercampur baur. Nak bagi tips pun, rasanya saya belum cukup arif tapi boleh sahaja berkongsi pengalaman sendiri.
“Apa yang boleh saya katakan, kalau ada yang nak berkahwin pada usia muda, anda kena bersiap sedia tiga perkara ini iaitu kuatkan mental, sabar dan kukuhkan kewangan.
“Kalau tiada tiga perkara ini, rumah tangga tidak akan bertahan. Sebagai ketua keluarga, banyak perkara yang kita kena fikir. Bebanan pun banyak. Jadi, kena bersedia demi kebahagiaan kelurga,” akhirinya.
Sekadar informasi, Tajul dan isteri, Nurul Shamieza Eddie telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 10 Disember 2017.
Hasil perkongsian hidup tersebut pasangan ini dikurniakan dua orang cahaya mata Adriana Carissa dan Adrian Rifqy.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.