Haziqah Nurul Huda atau lebih mesra dipanggil Yaya menafikan dirinya berkahwin dengan lelaki berstatus isteri orang, sebagaimana yang tular di laman sosial sejak awal hari ini.
Gadis berusia 23 tahun ini seperti yang dipetik Harian Metro menjelaskan, apa yang didakwa sebagaimana yang diperkatakan menerusi Facebook itu adalah fitnah dan menyifatkan apa yang berlaku ada hikmah.
“Saya reda dengan ujian Allah. Allah ada bersama saya. Insya-Allah, Allah permudahkan segala urusan saya hendaknya.
“Tiada alasan untuk saya berkahwin di Thailand seperti didakwa kerana ayah iaitu wali sah dan ibu sentiasa bersama saya 24 jam. Saya tidak boleh memandu dan jika ke mana-mana mesti bersama ayah.
“Pada 6 Januari 2020 yang didakwa kononnya tarikh perkahwinan saya bersama lelaki itu di Thailand, ia tidak benar kerana pada hari itu saya sekeluarga berada di Kuantan kerana anak saudara dimasukkan ke hospital,” katanya seperti yang dipetik.
Pada masa sama, Yaya turut menambah dia tidak ingin mengulas lanjut terhadap isu berkenaan. Sebaliknya, dia mengharapkan agar kebenaran di balik dakwaan tersebut akan terjawab.
“Terserah kepada netizen jika berterusan ingin menghukum dan mengecam saya kerana fitnah itu. Saya yakin berada di pihak yang benar.
“Cukup sekadar mereka tahu, saya masih bujang dan tidak bercinta dengan sesiapa, jauh sekali berkahwin dengan suami orang.
“Selain perniagaan dijalankan, saya hanya mempunyai ibu dan ayah serta keluarga. Rezeki bukan datang daripada perniagaan, ia daripada Allah,” jelasnya lagi yang turut tidak teragak-agak untuk menyaman individu terbabit sekiranya ia berterusan memburukkan nama baiknya.
Terdahulu, melalui status yang dimuat naik di laman Facebook, seorang ibu kepada tiga anak telah mendakwa suaminya mempunyai hubungan bersama usahawan asal Terengganu itu.
Wanita berkenaan turut mendakwa, Yaya dikatakan berkahwin secara senyap di Thailand pada 6 Januari lalu dengan suaminya.
Sementara itu, menerusi Insta Stories Yaya yang turut mempunyai lebih 60,000 pengikut di Instagram, dirinya ada berkongsi status yang menyifatkan apa yang terjadi tidak akan berlaku tanpa sebab.
Status tersebut bagaimana pun tidak pula diperincikan kepada mana-mana subjek.
Terdahulu memetik Sinar Harian, Yaya yang juga pengasas Moon Cake, mengalami lumpuh sejak sembilan tahun lalu telah beransur pulih selepas terjatuh di Masjidil Haram ketika menunaikan umrah Disember lalu.
Yaya menjelaskan, perubahan positif yang dialami itu dianggap sebagai anugerah tidak ternilai yang dikurniakan ALLAH SWT.