Tiada Angin Tiada Ribut, Daus AF8 Bercerai Dengan Isteri Selepas Lebih 2 Minggu Lahir Anak Bongsu

Share

Tiada angin tiada ribut, penyanyi yang juga pelajar Akademi Fantasia musim kelapan, Daus eli atau nama sebenarnya, Muud Shahril Firdaus Eli mendedahkan dia sudah berpisah dengan isterinya, Syaza.

Malah, bintang berusia 32 tahun ini juga tidak menafikan rumah tangganya sudah lama tidak harmoni.

“Masyarakat boleh kata apa saja mengenai perceraian kami tetapi saya mahu menegaskan keputusan itu dibuat selepas berbincang secara mendalam dengan bekas isteri.

“Sebenarnya, rumah tangga kami sudah lama tidak bahagia iaitu sebelum bekas isteri hamil anak ketiga kami lagi.

“Sejujurnya siapa yang mahukan perceraian, tambahan pula anak-anak masih kecil tetapi bekas isteri tetap dengan pendiriannya… Untuk tidak memanjangkan isu rumah tangga kami saya bersetuju untuk menceraikannya secara baik.

“Keputusan ini dibuat pun selepas kami berfikir masak-masak, berbincang termasuklah merujuk kepada keluarga namun nampaknya jodoh kami hanya setakat ini,” katanya seperti yang dilaporkan mStar Online.

Terdahulu, pasangan berkenaan bercerai secara baik di Mahkamah Rendah Syariah Bintulu, Sarawak dengan talak satu.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga anak iaitu Delysha Senzela, 5, Myesha Sehrish, 3, dan Ayesha Sheraz yang baru dilahirkan dua minggu lalu.

Pada masa sama, Daus turut menolak keretakan rumah tangga adalah disebabkan orang ketiga.

“Perceraian itu terjadi disebabkan tiada lagi persefahaman ekoran terpaksa berjauhan. Saya menolak faktor kewujudan orang ketiga.

“Saya tidak menyalahkan bekas isteri dan menganggap apa yang berlaku adalah suratan takdir dan fokus saya kini adalah membesarkan tiga anak mereka.

“Saya hendak ulas banyak pun banyak hati yang perlu saya jaga tetapi hubungan jarak jauh itulah punca timbulnya masalah dalam rumah tangga kami.

“Apa yang penting kami bercerai secara baik. Sekiranya jodoh kami panjang… Saya terbuka hati untuk kembali rujuk dan berharap masyarakat mendoakan yang baik-baik buat kami,” akhiri Daus.

Foto: Instagram Daus

 

Published by
Rafiq Mazlan