Program hiburan, Big Stage 2020 menyaksikan lima peserta lelaki yang bersaing berjaya mara ke peringkat akhir selepas satu-satunya peserta wanita yang lolos ke semi final, Farisha Iris dimumkan tersingkir.
Lima finalis lelaki yang akan berentap di malam kemuncak Big Stage 2020 minggu depan ialah Usop, Azzam Sham, Fadh Majid, Qody Rany dan Dinie Rashid.
Sementara itu pada malam tadi, Farisha membawakan dua buah lagu iaitu Semalam yang dipopularkan oleh Aina Abdul dan persembahan duet bersama Syamel menerusi lagu Ratusan Purnama.
Juara Big Stage tahun ini akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga bakal meraih RM50,000 dan RM25,000 masing-masing.
Big Stage 2020 bersiaran secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula 16 Ogos 2020 lalu jam 9 malam di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).