“Tiada Istilah Melengkap Kuota…,” – Percaya Rezeki & Berlapang Dada Soal Cahaya Mata, Misha Tunggu Berita Baik Daripada Allah SWT

Share

Penyanyi terkenal, Misha Omar mendedahkan dirinya masih menanti untuk dikurniakan cahaya mata lagi selepas hampir 7 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami, Firros Ezzwan Rosly.

Biar sudah pun memiliki permata hati, dia dan suami tidak pernah merancang mengenai soal anak malah berlapang dada untuk menerima anugerah yang terindah daripada Yang Maha Esa.

“Sejujurnya kami tidak merancang malah kami juga menanti berita baik daripada Allah SWT.

“Andai kata sudah tiba masanya kami dikurniakan ahli keluarga yang kelima dalam keluarga kami, kami tidak menolak,

“Malah kami sentiasa berdoa mudah-mudahan ada rezeki buat kami untuk dikurniakan anak lagi.

“Jadi saya harap juga kepada peminat saya untuk sama-sama mendoakan agar kami diberikan peluang untuk menimang cahaya mata lagi,” katanya.

Misha bagaimanapun tidak mahu terlalu tertekan, sebaliknya memilih untuk menikmati momen hidup seadanya bersama keluarga.

“Kami berfikiran terbuka dan menerima dengan berlapang dada serta bersangka baik dengan aturan Allah SWT.

“Kami berdua senang dan sedang nikmati momen indah sekarang ini. Kalau tidak ada pun tak apa, kalau ada lebih meriah hidup kami,” kata penyanyi Tanpa Rela itu lagi.

Dalam pada itu, Misha berkata, dia dan suami juga tidak pernah terfikir atau meletakkan sebarang target untuk memiliki berapa orang anak.

“Sebenarnya tak pernah terfikir nak ada berapa orang anak, macam saya dan suami tidak pernah ada perbincangan untuk mengenai hal ini.

“Memang dari awal sebelum kahwin saya dah seorang anak angkat, bila dah kahwin tambah lagi seorang, jadi memang kami tiada istilah untuk melengkap kuota atau sebagainya,” akhiri Misha.

Sebelum mendirikan rumah tangga, Misha memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini mencecah usia 15 tahun.

Imbas kembali, Misha mendirikan rumah tangga bersama Firros Ezzwan pada 2 Mei 2014.

Hasil perkongsian hidup bersama, Misha dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Idris Ezzwa, 5 tahun.

Penyanyi berusia 39 tahun ini ditemui pada malam kemuncak Konsert Digital Jelajah Suria di Warisan Hall Studio, Teluk Panglima Garang, Selangor, 24 Mac lalu.

Konsert tersebut turut dipancarkan secara maya di semua platform Suria.

Link youtube

End

Published by
Nazar Rafiqhi