“Tiada Istilah Saya Menjauhkan Diri,” – Konon Masam Muka Dengan Elite Sejak Tak Sertai GV5, Watie Sadali Perjelas Situasi Sebenar

Share

Pelakon dan penyanyi, Watie Sadali menafikan hubungannya bersama anggota Elite kian renggang gara-gara tidak kerap mengisi masa bersama ahli kumpulan berkenaan.

Watie atau nama sebenarnya, Norwati Sadali berkata, meski jarang kelihatan bersama di mana-mana majlis, namun hubungan mereka masih lagi baik dan kerap berhubung di media sosial.

“Kami masih lagi berhubung, cuma saya tidak nafikan mungkin dalam mana-mana acara atau pun projek saya tiada bersama Elite. Misalnya ketika mereka bersaing di GV5 lalu, saya belum bersedia untuk buat persembahan di atas pentas.

“Saya pun sudah lama tak menyanyi, tak mahu memalukan diri sendiri. Jadi adalah lebih baik untuk saya buat keputusan untuk tidak bertanding.

“Tambahan pula ketika itu saya juga ada beberapa komitmen dengan lakonan, keluarga dan sebagainya. Rasa macam sukar untuk fokus antara pertandingan dan lakonan nanti. Kita pun dah berumur, saya dah pun 43 tahun,” katanya.

Jelas Watie, persahabatan di antara mereka kekal terjalin cuma ketiadaannya di pertandingan nyanyian itu membuatkan ramai yang meneka mereka sudah tidak bertegur sapa.

“Masih lagi baik. Cuma buat masa sekarang kami jarang berjumpa, apatah lagi dalam situasi pandemik Covid-19  selain masing-masing turut ada komitmen sendiri.

“Apa pun, kami kekalkan hubungan dengan saling berkomunikasi di grup WhatsApp. Misalnya ketika sambutan tahun baru, kami saling berbalas ucapan.

“Begitu juga bila tiba hari jadi, kami tak akan lupa untuk berikan ucapan. Biarlah jauh di mata, tetapi dekat di hati. Itu pun sudah baik dan memadai. Tiada istilah saya menjauhkan diri.

“Tetapi saya tidak nafikan ada yang buat spekulasi kami bergaduh lebih-lebih lagi ketika saya tak sertai Elite dalam GV. Ada yang terkejut. Malah, Azza yang paling awal pelawa saya, cuma waktu itu saya rasa takut.

“Ia program pertandingan dan saya ni seorang yang ada ‘darah gemuruh’. Bila konsepnya begitu, perasaan itu tiba-tiba jadi lain. Kalau buat persembahan biasa, saya tidak kisah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Watie kini sibuk di lokasi drama rantaian, Ustazah Biker yang bakal bersiaran di saluran Salam HD Februari depan.

Selain Watie, turut sama terlibat di dalam drama arahan Lizam Togil (Ujang) terbitan A Aida Production Sdn Bhd itu ialah Hazman Al-Idrus, Alif Muhaimin, Chacha Maembong dan ramai lagi.

Foto: Instagram Watie Sadali

Published by
MH