Penyanyi dan ushawan Ifa Raziah tidak pernah berniat untuk melakukan sailang terhadap mana-mana festival berkenaan penganjuran Star Vendors Raya Fest yang bakal diadakannya pada bulan Ramadan nanti.
Ifa yang juga merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Star Vendors memberitahu, penganjuran festival yang dianjurkannya itu mengikut prosedur yang telah ditetapkan pihak Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selaku penyedia lokasi festival yang bakal berlangsung.
“Benar, saya pernah bekerjasama dengan penganjur lain sebelum ini. Cuma tahun ini saya pula bertindak sebagai penganjur. Saya percaya pada rezeki.
“Tiada isu caras mencaras yang wujud pun. Malah tiada isu perselisihan faham antara saya dengan penganjur sebelum ini, ” katanya kepada MH ketika ditemui pada sidang akhbar tergempar petang tadi.
Ifa berkata demikian ketika diminta mengulas kononnya wujud dakwaan mengatakan dia ‘sailang’ sebuah penganjuran festival jualan 72 jam yang berlangsung setiap tahun di PWTC selama ini.
“Sebagai usahawan, saya juga turut melalui proses pitching bagi mendapatkan lokasi untuk mengadakan festival ini.
“Selama dua minggu saya berurusan dengan pihak mereka diberi kepercayaan selepas membuat pembayaran,” terang Ifa.
Jadi, penyanyi Gemercing Rindu ini berharap penjelasannya tersebut menjernihkan segala kekeliruan yang mungkin wujud dalam kalangan vendors selama ini.
Star Vendors bakal berjalan selama tiga hari tanpa henti bermula 24 Mei depan.
Difahamkan, ia bakal menampilkan penglibatan lebih 40 artis tempatan dan luar termasuk Fattah Amin, Fazura, Erra Fazira, Randy Pangalila, Sajat, Datuk Awie dan ramai lagi.
Foto: Instagram Ifa Raziah