Menyokong perjalanan kerjaya rakan seperjuangannya, Naqiu dalam Gegar Vaganza ke-6 (GV6), Tomok menafikan comeback Naqiu bakal ‘caras’ tapaknya dalam industri.
Sebagai teman seperjuangan, jelasnya sifat cemburu hanya merosakkan industri hiburan.
“Saya penyokong Naqiu. Setiap minggu dia berikan persembahan terbaik. Saya doakan dia terus berjaya dan jangan berhenti. Bakatnya sangat besar.
“Tiada isu kebangkitan Naqiu akan tenggelamkan Tomok. Kami saling menyokong dan ada peminat tersendiri.
“Saya sendiri menyokong dia, tiada istilah cemburu. Ia tidak bagus untuk industri.
“Jadi tiada isu siapa tenggelamkan siapa. Kami sama-sama menyokong kerjaya,” jelas Tomok kepada MH.
Pada masa sama, bintang berusia 35 tahun ini juga tidak menolak kemungkinan untuk berduet bersama bekas anggota kumpulan Boboy itu.
Ini kerana, Tomok memandangkan nilai sentimental mereka cukup tinggi di kalangan peminat.
“Dia ada hubungi saya sewaktu menyanyikan lagu Meraung. Kami masih berhubung namun tidaklah begitu rapat kerana masing-masing ada komitmen tersendiri.
“Saya terbuka untuk berduet dengannya. Gandingan kami punya nilai sentimental kerana datang daripada zaman yang sama. Jika ada rezeki, saya tidak menolak,” jelasnya lagi.
Bapa kepada dua anak ini turut memberi kata-kata dorongan buat penyanyi Boboi itu dan menyifatkan perjuangan sebenar adalah selepas tamat GV.
“Ia hanyalah satu platform, tidak menjamin kerjaya selepas itu. Cabaran sebenar selepas keluar daripada GV. Kena sentiasa merendah diri,” katanya.
Malah, Tomok juga tidak menolak kemungkinan untuk turut sama menyertai Gegar Vaganza pada masa akan datang andai adanya tawaran.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI