Berita

“Tiada Kecederaan Fizikal,” – Bedah Siasat Bermula Jam 11.00 Pagi Hingga 3.00 Petang Khamis, Polis Klasifikasi Kematian Nidza Afham Sebagai Mati Mengejut

Share

Polis mengklasifikasikan kematian penyanyi, Nidza Afham, 23, yang ditemukan di Sungai Klang semalam sebagai mati mengejut (SDR).

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bedah siasat terhadap mayat mangsa selesai pada 3 petang tadi.

“Bedah siasat dijalankan pada 11 pagi sehingga 3 petang ke atas mayat Muhammad Nidza Afham Mokhtar.

“Punca kematian adalah menunggu laporan siasatan makmal dan tiada kecederaan fizikal,” katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Menurutnya lagi, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu polis dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, petang Rabu lalu ialah Nidza Afham.

Menurutnya, jenazah dihantar ke Hospital Shah Alam untuk proses selanjutnya.

Mangsa dilaporkan hilang selepas keluar berjoging di Stadium Klang, Selangor, kira-kira jam 11.53 malam sebelumnya.

Dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemukan di Jambatan Sungai Klang.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber: Harian Metro

Published by
MH