Sebut sahaja jenama Duck, pasti terbayangkan warna ungu yang menjadi trademark jenama itu. Malah, umum sedia maklum bahawa pengasas disebalik jenama gah ini merupakan figura yang sememangnya dikenali ramai.
Kejayaan pemilik nama Vivy Sofinas Yusof, atau lebih mesra disapa sebagai Vivy yang berjaya menempa nama sebagai usahawan pada usia 28 tahun sememangnya cukup membanggakan rakyat Malaysia dan wajar dijadikan sumber inspirasi.
Anak kelahiran Kajang ini merupakan pengasas bersama FashionValet, salah satu laman sesawang dalam talian yang menawarkan pelbagai label popular. Kejayaan yang diraih wanita muda ini bukanlah mudah yang disangka.
Vivy bermula dengan menulis di blognya sendiri, Proudduck.com dan telah mengelola laman blognya lebih tujuh tahun bermula dari zaman kolej ketika belajar di London.
Menerusi Blog itu, Vivy banyak bercerita mengenai kisah cinta, kerjaya, keluarga dan kini kehidupan hariannya sebagai seorang ibu. Ramai follower yang mengikut blognya dan dari situ Vivy mula mengumpul peminat tersendiri.
“Sebenarnya Vivy tidak mempunyai latar belakang dalam bidang perniagaan mahupun fesyen. Vivy mengambil jurusan undang-undang dari London, ‘School Of Economics’, manakala Fadzaruddin (suami Vivy) pula lulusan kejuruteraan penerbangan angkasa.
“Pada awalnya, FashionValet mula beroperasi sejak bulan November 2010 dengan hanya 10 jenama tempatan sahaja yang mengambil bahagian. Kini, Vivy dan suami mempunyai 30 orang pekerja dan stok barangan lebih dari 400 jenama dari serata Asia Tenggara,” ujar wanita kecil molek anak kelahiran Kajang ini.
Sekadar info, FashionValet menawarkan pelbagai pakaian fesyen dan aksesori dari pereka karya seni tempatan dan luar negara seperti Minz, Gallo by Thian, PU3, Sereni & Shentel, Mimpikita, Dusk Till Dawn dan banyak lagi.
Meskipun harga produk yang dijual di FashionValet agak mahal, tetapi menurut Vivy mereka berpegang kepada prinsip menyediakan produk yang berkualiti kepada pelanggan.
Itulah keistimewaan Vivy Yusof yang kini menjadi ikon fesyen. Mempunyai followers di laman instagramnya berjumlah 1.8 juta dan apa sahaja yang digayakan Vivy akan menjadi ikutan serta sorotan warganet.
Biarpun sibuk dengan kerjaya, Vivy tetap menjalankan tugas sebagai seorang isteri dan ibu kepada keluarganya. Pelbagai kejayaan ditempa dan menjadi inspirasi kepada hijabi di luar sana yang mengangkat Vivy sebagai idola mereka.