Berita

“Tiada Nak Menyekat Usia Atau Merancang…,” – Takdir Allah, Erra Fazira Reda Andai Temu Jodoh Walau Pada Umur 60 Tahun

Share

Aktres dan penyanyi terkenal, Erra Fazira tidak pernah menolak jodoh, sebaliknya reda sekiranya ditakdirkan kembali bertemu pasangan hidup meski ketika meniti usia 60 tahun sekalipun.

Menurut Erra, dia juga tidak merancang mengenai hal tersebut kerana ia adalah takdir Allah SWT seterusnya menerima apa pun ketentuan dari-Nya.

“Saya tiada istilah nak menyekat ketika usia berapa atau nak merancang kerana itu semua takdir Allah.

“Saya reda dan berserah… Kalau Dia izinkan (kembali bertemu jodoh) pada usia 60 tahun, saya terima. Dia yang menentukan, bukannya kita,” katanya kepada MH.

Bintang filem Hingga Hujung Nyawa ini berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Terlajak Raya anjurannya bersama jurusolek, Deq Sha di Restoran Puteri, Sungai Penchala, baru-baru ini.

Sudah 10 tahun bergelar ibu tunggal pada masa sama menambah, soal mencari pasangan hidup kini bukan lagi menjadi keutamaan.

Malah dia harmoni bahagia dengan kehidupan sekarang selain tidak langsung merasakan ada kekurangan.

“Saya bahagia dengan kehidupan sekarang, malah tak pernah rasa ada kekurangan di mana-mana. Bagi saya, bahagia dan tenang itu tak semestinya kita perlu ada pasangan.

“Kadang-kadang hidup pun oleh rasa tenang, jadi hanya hargai dan nikmati sahaja hidup ini. Kalau ada, Alhamdulillah.

“Tapi, kalau tak ada pun saya gembira sebab tak perlu gaduh-gaduh. Kalau dulu iyalah… fikir kalau lambat kahwin, umur berapa nak ada anak dan sebagainya.

“Tapi, sekarang saya serahkan pada takdir ‘go with the flow’, saya nak hidup tenang-tenang sahaja,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Erra berkata, dia tidak pernah menutup pintu hati untuk mengenali mana-mana lelaki dan mendoakan yang terbaik.

Imbas kembali, Erra pernah mendirikan rumah tangga dengan Engku Emran Engku Zainal Abidin pada 25 Oktober 2007, namun bercerai pada Februari 2014.

Menerusi perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Engku Alessya Engku Emran.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH