Baru-baru ini, nama pelakon Rashidi Ishak menjadi perhatian ramai selepas dia ada memberikan pandangan terhadap nyanyian aktres, Fazura ketika membuat persembahan di Indonesia.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Rashidi menganggap ia merupakan teguran ikhlas agar Fazura dapat memperbaiki teknik nyanyiannya selepas ini.
“Pada saya, itu adalah teguran ikhlas. Saya tak nafikan suara dia memang sedap sebagai seorang penyanyi pop. Namun, menerusi video yang viral itu, memang ada sedikit lari dari segi pitching.
“Jika kita lihat penyanyi profesional yang hari-hari menyanyi dan buat persembahan, masalah seperti ini jarang berlaku. Walaupun ada teknikal isu, meraka akan tetap berada di pitch yang betul.
“Pada pandangan saya, Fazura mungkin kekurangan pengalaman dalam menyanyi secara langsung
“Saya pun tiada niat nak menghentam. Mungkin dia boleh perbaiki lagi nyanyiannya selepas ini,” katanya kepada MH.
Rashidi berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama Ofis Politik yang berlangsung di Zebra Square pada Selasa.
Pada masa sama, Rashidi menganggap Fazura bertuah kerana dapat membuat persembahan di Indonesia dan peluang itu tidak mudah dimiliki.
“Dia bawa nama negara ke Indonesia.
Bukan senang nak dapat peluang untuk melebarkan sayap ke sebuah negara yang besar.
“Segalanya boleh digilap lagi. Tiada penyanyi yang dari lahir, terus bagus. Segalanya boleh belajar,” katanya.
Pada masa sama, pelakon filem Mami Jarum ini turut menafikan dirinya mempunyai niat jahat sewaktu berkongsi pandangannya di aplikasi Threads.
“Kenapa pula saya nak berniat jahat. Tiada untungnya pun. Saya memuat naik hantaran tersebut sekadar untuk memberi pendapat.
“Sesiapa sahaja yang ada platform media sosial, mereka ada hak untuk meluahkan apa yang mereka rasa. Begitu juga saya,” kongsinya.
Ditanya adakah dia akan lebih berhati-hati dalam memberikan pandangan di media sosial selepas ini, Rashidi menganggap tiada apa yang perlu ditakutkan.
“Saya tak takut apa-apa pun. Kalau kita tulis perkara yang salah, kita minta maaf. Kalau perkara itu betul, kenapa pula kita nak takut,” akhirinya.
Terdahulu, Rashidi menerusi hantaran di platform Threads menasihatkan pengurus Fazura untuk mencarikan guru vokal sebagai pembimbing aktres tersebut menjadi penyanyi yang baik.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.