“Tak Berani Nak Bagitahu Orang Pun Berita…,” – Botakkan Kepala Selepas 32 Tahun Berambut Panjang, Ini Pengalaman Baik Edrie Hashim Saat Tunai Umrah

Share

Gitaris dan produser musik terkenal, Edrie Hashim tidak dapat menyembunyikan rasa sebak saat pertama kali menjejakkan kakinya di Kota Suci, Mekah baru-baru ini.

Menurut Edrie, sebagai individu yang mempunyai banyak kekurangan, dia tidak menyangka dirinya akan berkesempatan menjadi tetamu di rumah Allah SWT.

“Dengan nama-Mu ya Allah. Alhamdulillah. Aku sampai juga ke rumah-Mu. Berderai air mata pertama kali melihat Kaabah depan-depan mata. Tak sangka aku si pendosa ni mendapat panggilan menjadi tetamu-Mu.

“Mula-mula rasa macam nak kena prank. Tak berani nak bagitahu orang pun berita nak pergi umrah tu. Alhamdulillah syukur yang teramat sangat telah Kau capaikan jua cita-citaku untuk menjadi tetamuMu. Telah kau makbulkan doaku ya Allah,” tulisnya.

Dalam pada itu, Edrie yang sudah sinonim dengan imej berambut panjang mendedahkan dirinya langsung tidak ralat saat memutuskan untuk membotakkan kepalanya ketika menunaikan umrah.

“Tercapai sudah niatku untuk ‘berkorban’ dekat Mekah Al Mukarammah. Telah lama aku berniat agar ‘pengorbanan’ 32 tahun ku ini akan berakhir di tanah suciMu. Tiada paksaan dan tiada ugutan. Semuanya di atas nama kasihku pada Mu Ya Allah Tuhan sekalian alam.

“Sesunguhnya aku beriman pada kekuasaan dan kasih sayang Mu ya Tuhan ku. Semoga ibadahku diterima oleh Mu. Moga aku akan dipanggil lagi untuk menjadi tetamu rumahMu ya Allah. Semoga kali ini bersama orang-orang yang aku kasihi insyaallah,” kongsinya lagi.

Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh gitaris kumpulan Wings itu menerusi sebuah hantaran di Instagram stories.

Pada masa sama, Edrie turut merakamkan ucapan penghargaannya kepada semua pihak yang menjadikan impiannya itu satu kenyataan.

“Terima Kasih pada semua sahabat-sahabat para jemaah yang sentiasa membimbing, terutama yang dikasihi @maulana_helmi78 , tok mat dan @skymatthadidtravel.

“Sekalung kasih buat abang-abangku Dato @awieofficial @sham.wings @eddiewings68 @black_thedrummer
Moga dirahmati Allah kita semua,” akhirinya.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan selebriti nyata tersentuh selain turut mendoakan semoga Edrie memperoleh umrah yang mabrur.

“Allahuakbar. Semoga mendapat umrah yang mabrur dan dipermudahkan segala urusan.

“Sebak tengok video dan baca kapsyen. Semoga dikurniakan umrah yang mabrur.

“Alhamdulillah rambut dikorbankan juga. Smeoga terus dirahmati Allah. Botak pun masih guitar hero. Legend.

“Seronoknya dapat jadi tetamu Allah.

“Memang ajaib tengok Kaabah di depan mata. Rasa kerdil diri sebagai hamba,” antara komen-komen netizen di Instagram.

Terdahulu, Edrie dan seluruh anggota kumpulan Wings telah berangkat menunaikan ibadah umrah bersama pada 16 November.

Ke semua mereka telah selamat tiba di tanah air dan turut berkesempatan mengadakan konsert terakhir bagi tahun 2022 pada hujung minggu lalu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Edrie Hashim

Published by
Aizam Manaf