Umum mengetahui yang penyanyi kumpulan NSYNC ini merupakan bekas kekasih Britney Spears. Mereka bercinta sewaktu remaja ketika masing-masing sedang berada dipuncak karier. Saling mengenali ketika bergelar musketeers untuk The All-New Mickey Mouse Clu, mereka bercinta selama tiga tahun bermula 1999 sebelum berpisah pada tahun 2002.
Dunia hiburan antarabangsa kecoh apabila Britney Spears telah membuka mulut mengenai isu conservatorship oleh ayahnya yang disifatkan tidak berperikemanusiaan. Dia bercerita bagaimana dirinya tidak dibenar untuk menanggalkan IUD, iaitu alat untuk mengawal kehamilan semata-mata bagi memastikan dirinya tidak mengandung.
Selain itu diva pop popular ini juga tidak memiliki akses kepada wangnya sendiri biarpun mengutip jutaan dolar hasil jualan album serta tiket konsert yang rata-ratanya habis dijual.
Membuka mulut tentang itu ini, Justin Timberlake berkongsi di laman Twitternya, “Selepas apa yang kita lihat hari ini, kita semua harus menyokong Britney. Tidak kira apa masa lalu yang kami miliki, baik atau buruk dan tidak kira berapa lama dahulu. Apa yang terjadi kepadanya adalah satu perkara yang tidak betul.
Tiada wanita di dunia harus dikawal dan disekat dari membuat keputusan sendiri apatah lagi berkaitan badannya. Tiada manusia berhak dikawal tanpa kerelaan mereka atau pun perlu meminta kebenaran untuk memiliki akses terhadap hasil kerja keras mereka selama ini. Jessica dan saya mengirimkan rasa kasih kami dan juga sokongan tidak berbelah bahagi kepada Britney. Kami berharap agar mahkamah dan keluarganya memperbetulkan keadaan dan biar Britney hidup sebagaimana yang dia mahukan.”
Justin kini bahagia bersama isterinya, Jessica Biel dan memiliki dua cahaya mata. Awal tahun ini, dia mengeluarkan permohonan maaf kepada Britney, kerana menggunakan kisah perpisahannya dan Britney sebagai subjek di dalam muzik video serta menuduh kecurangan diva pop itu sebagai punca mereka berpisah.
Sejak pendedahan tentang conservatorship Britney tular, tanda pagar ‘Free Britney Spears’ telah tular dan menjadi carian nombor satu di Amerika Syarikat.
Sumber: The New York Times, The Hollywood Reporter