“Tiba-Tiba Penglihatan Mata Kanan Saya Jadi Gelap Dan Kabur,” – Radhi OAG Usaha Kumpul Wang Buat Pembedahan Mata

Share

Penyanyi kumpulan OAG, Radhi kini sedang mengumpul wang bagi menampung kos rawatan pembedahan mata kanannya yang berdepan masalah penglihatan akibat katarak.

Radhi menerusi Harian Metro menjelaskan, dia mula perasan keadaan mata kanannya yang tidak dapat berfungsi dengan baik sekitar Mac lalu.

“Tiba-tiba penglihatan mata kanan saya jadi gelap dan kabur. Saya juga tidak dapat mengawal keseimbangan badan ketika berdiri dan memegang barang.

“Jadi saya dapatkan rawatan di hospital dan doktor memberitahu saya mengalami masalah katarak selain perlu menjalani pembedahan.

“Dianggarkan kos pembedahan itu sebanyak RM3,000. Jadi sekarang saya sedang usaha mengumpul wang secepat mungkin kerana bimbang masalah lain timbul,” katanya seperti yang dipetik.

Bagaimanapun, bintang ini menyifatkan apa yang berlaku adalah petunjuk daripada Allah SWT supaya dia menjadi insan yang lebih baik.

“Saya anggap penyakit ini satu hadiah daripada Allah. Mungkin Dia nak beritahu saya, kalau masih teruskan kehidupan begitu (masa lampau), masa depan saya boleh gelap.

“Doakan semoga mata kanan saya kembali normal supaya saya dapat menikmati kehidupan dengan jalan yang baik dan diredai,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Radhi bakal muncul dengan sebuah konsert dalam talian pada 30 Ogos ini.

Konsert yang dikenali sebagai Maya Konserto OAG Mods menampilkan Radhi bersama rakan-rakan seperti Baba Andy (Flop Poppy), Emri Shamreza (Blind Tribe) dan Nazrin (OAG).

Maklumat untuk tiket berharga RM30, sila layari laman web rasmi uberticket.

Sumber: Harian Metro

Published by
MH