Pelakon Syafiq Kyle tidak berasa tergugat sebaliknya menyambut baik kehadiran muka-muka baru yang mewarnai industri drama dan filem tanah air kini.
Menurut Syafiq atau nama sebenarnya, Mohd Syafiq Shamim Abdul Razak, setiap pelakon akan diberikan peluang untuk menyinar namun, dia kini lebih matang dalam menguruskan kerjayanya.
“Siapalah saya nak bagi pendapat mengenai perkara ini. Saya belum cukup masak lagi untuk bercakap tentang pendatang baharu.
“Apa yang boleh saya katakan, saya juga pernah berada di tahap itu. Saya juga pernah disebut-sebut dan tidak disebut-sebut.
“Hal ini banyak mengajar saya. Pada mulanya, kita memang nak sangat kejar cita-cita itu.
“Namun, bila saya sudah menjalaninya, kini saya dapat melihat perkara yang lebih penting untuk diri sendiri, keluarga dan penyokong saya,” katanya kepada MH.
Syafiq berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama terbaharu terbitan Viu, Terlanjur Cinta baru-baru ini.
Katanya lagi, kahadiran pelakon-pelakon baharu ini juga akan memberikan kepelbagaian dan kelainnan buat penonton yang menginginkan kelainan di dalam setiap naskhah.
“Dengan lambakan pelakon-pelakon baharu ini, ia akan memberikan kepelbagaian. Kita akan ada banyak pilihan seiring dengan platform yang kita ada ketika ini.
“Tidak akan ada lagi masalah muka hero dan heroin yang sama sahaja kerana barisan pelakon terus berubah.
“Penonton tidak akan rasa bosan lagi. Jadi, setiap orang ada peluang untuk memilih karya yang mereka suka,” ujarnya.
Pada masa sama, Syafiq turut memaklumkan dirinya tidak mempunyai masalah untuk berkongsi ilmu dan cara pembawakan diri dengan pelakon-pelakon baharu.
“Disebabkan terlalu banyak muka baharu,
Ada kalanya saya sendiri tak kenal mereka yang berlakon dengan saya. Saya akui, itu silap saya juga.
“Namun, tugas kita adalah untuk meraikan kehadiran mereka. Kita tak boleh nak mengatakan mereka tidak layak, tak boleh atau halang mereka masuk industri ini.
“Sebaliknya, kita kena tunjukkan kepada mereka bagaimana cara untuk bawa diri dan buat pilihan tepat. Kita pun bukan bagus sangat tapi lebih kepada berkongsi.
“Zaman mereka berbeza jika dibandingkan dengan zaman saya 10 tahun dahulu. Jadi, saya lebih menghargai kehadiran bukan sahaja pelakon tapi juga para pekerja belakang tabir yang sangat berbakat,” akhirinya.
Terdahulu, Terlanjur Cinta merupakan sebuah drama sarat emosi yang diarahkan oleh pengarah terkenal Erma Fatimah dan akan ditayangkan di platform penstriman, Viu.
Selain Syafiq, filem ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Puteri Balqis, Datin Seri Ummi Aida, Khir Rahman dan Syafi Tee.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI