“Tidak Dinafikan Ada Yang ‘Mengurat’…,” – Nikki Palikat Kongsi Ada Lelaki Ingat Usianya 20-an!

Share

Penyanyi Nikki Palikat mendedahkan ada lelaki yang cuba mendekatinya sejurus membuat pendedahan mengenai perpisahan bersama komposer, Audi Mok kepada umum pada Jun lalu.

Nikki atau nama sebenarnya,Nicolette Louisa Palikat,36, bagaimanapun akui dia masih lagi belum terbuka hati untuk menerima kehadiran seorang teman di dalam hidupnya.

“Tidak dinafikan ada yang ‘mengurat’ cuma rasanya buat masa sekarang hati saya masih belum bersedia. Nak berpasangan balik tidaklah. Sebab sekarang saya sibuk nak urus mengenai anak yang kini sudah pun sekolah menengah.

“Cuma yang kelakarnya sebelum ini (masih bergelar isteri) ada yang ingat usia saya dalam 20an dan masih ‘single and available’. Ada ketika saya keluar sendiri, hingga yang anggap sedemikian,” katanya kepada MH.

Berkongsi mengenai perkembangan seninya pula, Nikki yang masih lagi giat mempromosikan single Sudah mengakui sebelum ini dia pernah menerima tawaran untuk merakamkan lagu ‘leman’ (lagu tangkap leleh).

Namun, ibu kepada sorang cahaya mata itu sebolehnya memilih untuk terus fokus terhadap halatuju muzik yang diperjuangkan sejak dulu, iaitu balada R&B yang mempunyai elemen pop.

“Saya ada juga terima pelawaan untuk menyanyikan lagu sedemikian. Akan tetapi saya rasa ia seakan-akan tidak kena dengan saya punya suara selain ‘branding’ yang tidak sesuai.

“Bagi saya, hala tuju muzik saya lebih kepada ‘urban’ dan peminat pun rasanya lebih mengenali saya dengan imej tersebut. Biarlah saya kekal begini sebab bagi saya sebagai penyanyi, kita perlu tahu (jiwa) diri sendiri.

“Bagaimanapun saya pernah jugalah buat ‘cover’ lagu-lagu penyanyi lain, cuma yang mana dalam genre pop begitulah. Saya sedar, tidak boleh ‘tackle’ semua orang sebaliknya saya perlu fokus kepada kekuatan.

‘Tapi saya percaya, peminat kini sudah bijak menilai, minda mereka sudah terbuka dan boleh menerima apa sahaja pembaharuan, perbezaan daripada apa yang sudah mereka biasa dengar sebelum ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Nikki penah mengejutkan peminat apabila mengumumkan mengenai perceraiannya bersama Audi Mok menerusi sebuah program hiburan. Menurut Nikki, perpisahan itu berlaku ketika negara berada dalam tempoh pandemik Covid-19, sebelum ini.

Pasangan tersebut berkahwin di sebuah gereja di Petaling Jaya pada Jun 2009 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Liam yang kini berusia 12 tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

 

Published by
MH