“Tidak Mahu Tular Sekejap, Tapi Tak Boleh Nyanyi Dan Terus Hilang,” – 36 Tahun Dalam Seni, Ini Ulas Ramlah Ram Soal Bintang Pelapis

Share

Penyanyi Ramlah Ram berharap pelapis industri muzik dalam kalangan penyanyi baru biarlah terdiri daripada mereka yang berkualiti dan betul-betul boleh menyanyi, meski citarasa peminat berbeza.

Menurut Ramlah, 56, penyanyi yang bagus mempunyai peluang lebih besar untuk kekal bertahan dan bukan hanya bermusim.

Bintang yang sudah 36 tahun terlibat dalam seni itu menjawab persoalan mengenai kebanjiran penyanyi baharu yang kini memeriahkan dunia seni lokal, tapi didakwa tidak berbakat dari segi nyanyian.

“Kita tak boleh sekat pilihan peminat. Ini pilihan masing-masing. Nak suka sebab bakat atau apa terpulang. Sebab sekarang masing-masing boleh promosi diri sendiri.

“Kalau tanya saya, nak mencari pelapis sudah tentu nak yang berbakat. Menjadi penyanyi kena nyanyi dengan bagus. Penyanyi kalau tak boleh nyanyi, ia tidak digelar penyanyi. Jadi, kena ada pelapis berbakat.

“Macam sekarang, ada penyanyi baru yang berbakat dan memang bagus. Kalau boleh nak macam itu semuanya. Tidak mahu tular sekejap, tapi tidak boleh nyanyi dan terus hilang,” katanya.

Ramlah berkata demikian pada majlis pelancaran lagu terbaharunya, Aku Ubatinya Lagi bersama media yang dilangsungkan secara virtual, akhir Jun lalu.

Sekadar menyebut beberapa nama, dia turut kagum dengan bakat dan kualiti dimiliki penyanyi seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Hazama, Syamel dan beberapa lagi.

“Penyanyi yang bagus dan dengan kualiti vokal seperti Ernie Zakri, Aina Abdul, Hazama, Syamel dan beberapa lagi. Ini yang saya kagum. Kalau dapat semua macam ini sudah cukup baik.

“Kalau yang lain baru nak muncul tu biarlah yang berbakat. Insya-Allah, kalau hadir dengan bakat boleh bertahan lama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, single Aku Ubatinya lagi yang bergenre balada itu pertama kali menyaksikan kerjasamanya dengan komposer terkenal, Ajai sementara gubahan muzik pula dari sentuhan komposer, Sharon Paul.

Kali terakhir Ramlah muncul dengan single ialah pada tahun 2019 menerusi lagu Masar Cinta dan kemudian disusuli lagu raya, Kemenangan pada April lalu.

Media Hiburan sedang menganjurkan pertandingan menarik bersempena dengan MCO 3.0 ini, siapa tahu rezeki akan jadi milik anda.

Pertandingan nyanyian ‘Karok Lockdown’ khas buat anda yang mahu ketengahkan bakat menyanyi, kalau bertuah ganjaran wang tunai menanti!

Apa yang anda perlu buat? Klik saja link DI SINI untuk mendaftar sekarang. Mana tau korang pemenang yang kami cari, all the best!

Published by
Rafiq Mazlan