Hiburan

“Tidak Salah Untuk Mendapatkan Bantuan…” – Aamir Khan & Anak Jalani Terapi Bersama

Share

Bintang Bollywood terkenal, Aamir Khan, 59, baru-baru ini mendedahkan bahawa dia dan anak perempuannya, Ira Khan, 27, sedang menjalani terapi bersama untuk memperbaiki hubungan mereka.

Menerusi perbualan eksklusif yang disiarkan oleh Netflix India bersama Dr. Vivek Murthy, Aamir berkongsi pandangannya mengenai kuasa terapi dan bagaimana ia membantu hubungan mereka.

“Terapi sangat membantu, dan Ira adalah individu yang mendorong saya ke arah itu.

“Kami memulakan terapi bersama untuk membaiki hubungan kami dan menyelesaikan isu-isu yang telah lama wujud,” ujar Aamir seperti yang dipetik dalam laporan Hindustan Times.

Menurutnya, terapi bukan sahaja membantunya sebagai individu tetapi juga sebagai seorang ayah yang berusaha untuk membina ikatan lebih baik dengan anaknya.

Dalam sesi tersebut, Ira turut menekankan kepentingan hubungan yang sihat dengan ibu bapa.
Aamir turut menambah bahawa terapi sering disalahertikan sebagai tanda kelemahan, terutamanya di India.

“Tidak salah untuk mendapatkan bantuan profesional. Saya sendiri memperoleh banyak manfaat daripadanya,” katanya.

Untuk rekod, Ira merupakan anak kepada Aamir hasil perkahwinannya dengan isteri pertama, Reena Dutta.

Pasangan itu turut mempunyai seorang anak lelaki, Junaid Khan. Selepas bercerai pada tahun 2002, Aamir berkahwin dengan Kiran Rao, dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Azad Rao Khan.

Namun, perkahwinan kedua Aamir juga berakhir pada Julai 2021.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
Irfan Kamaruddin