Pelakon dan pengarah, Pekin Ibrahim menyifatkan dakwaan curang yang dilemparkan kepada sahabatnya yang juga aktor, Fattah Amin sebagai tuduhan sangat berat.
Menurut Pekin, sepanjang menjalani penggambaran bersama baru-baru ini, Fattah bukanlah lelaki yang suka bercakap mengenai wanita lain apatah lagi berlaku curang.
“Kami menjalani pengambaran lama bersama pelakon dari Indonesia. Tidak sekali pun saya nampak Fattah gatal atau bercerita hal wanita.
“Sampai waktu solat, hanya minta rehat untuk tunaikan kewajipan. Sebagai kawan aku rasa tuduhan itu berat buat beliau,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.
Katanya lagi, meski sibuk bekerja, namun Fattah sering meluahkan perasaan merindui isteri dan anak, Nur Fatima Aisya.
“Kami luang masa bersama. Tidak sekali pun dia tunjukkan masalah di wajahnya. Tidak sekalipun bercerita hal peribadi, hanya rindu anak dan isteri yang sering sahaja terkeluar dari mulut beliau.
“Jauh sekali tuduhan dia ada wanita lain,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, pelakon filem Mat Motor ini turut berharap agar Fattah diberikan kekuatan untuk menempuh detik sukar ini.
“Hanya apa yang mampu kita semua mintak supaya beliau tabah dan kuat. Sedih dengar hal-hal cerai ni.
“Mintak jauh hal-hal macam ni. Aku team Fattah, korang?” katanya lagi.
Terdahulu, Fattah dan isterinya yang juga merupakan pelakon, Nur Fazura telah sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, jam 9.45 pagi Isnin.
Selepas bercerai, Nur Fazura mendakwa beberapa perkara, antaranya berlaku curang dan culas memberi nafkah untuk mereka sekeluarga.
Pelakon Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI