Penyanyi dan usahawan sensasi, Ifa Raziah tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa memperlekehkan wanita kaum Iban menerusi penulisan komen di ruangan komen sahabatnya, sebelum ini.
Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 49, berkata, dia tiada langsung niat untuk mencetuskan provokasi dalam hal berkaitan, sebaliknya hanya bergurau dengan sahabat baik, Kelly Azman.
“Pertama sekali saya sangat terkejut sebab komen berkenaan adalah sekitar enam minggu yang lalu dan ia kemudiannya menjadi viral sejak tiga hari yang lepas. Ketika itu saya berada di Singapura.
“Saya tak tahu apa benda yang mereka tulis dan komen dekat video saya di media sosial. Rupanya isu saya yang terkejut tengok video Kelly.
“Sebenarnya antara saya dengan Kelly, ia gurauan antara sahabat. Jdi bila kita bergurau bersama sahabat, kita tak bermaksud apa-apa.
“Apatah lagi berniat nak body shaming, face shaming dan lain-lain. Pertama kali tengok video itu, saya nampak head gear yang berada di atas kepalanya, sangat cantik.
“Saya tak cakap pula ia tidak elok ke…Malah dalam banyak-banyak komen yang ada dalam video tersebut, hanya saya seorang saja yang support Kelly,” katanya.
Penyanyi lagu Gemercing Rindu ini turut menambah, dia tidak pernah bercakap buruk atau melakukan perkara yang tidak baik termasuk dalam hal melibatkan isu perkauman.
“Saya sendiri pun mempunyai ramai kawan yang terdiri daripada orang Sabah dan Sarawak. Jadi tak kan lah saya mahu nak mainkan isu tersebut. Tiada niat pun di hati, tidak ada.
“Maksud saya, Kelly pakai bunga-bunga atas kepala. Kedua, bila Kelly menyanyi macam tak tentu arah… nak ke sana dan ke sini. Itu maksud saya. Demi Allah saya tiada niat langsung. Semua itu disalah ertikan,” katanya lagi.
Ifa turut menjelaskan dia lebih senang untuk tampil sendiri berbanding membuat penjelasan ringkas menerusi siaran langsung atau pun hantaran di media sosial bagi menggelakkan salah faham yang lebih panjang.
“Jadi saya tunggu selesai urusan di Singapura dan tampil buat penjelasan ini. Hari ini (Rabu) masa sesuai untuk saya jelaskan. Sebab itu saya tak buat live atau apa-apa.
“Tidak terlintas, tidak terdetik dan tidak terniat pun di dalam hati saya ini untuk mengguris hati anda semua, demi Allah.
“Sekiranya ada ayat saya yang tersalah faham, mengguris hati…Saya susun 10 jari saya dan dengan rasa rendah hati saya memohon maaf.
“Saya ulang balik, tiada niat langsung nak mengguriskan hati sesetengah etnik di Borneo. Saya harap dengan penjelasan saya ini, dapat kita tutup isu ini dengan baik dan tidak berpanjangan,” katanya.
Terdahulu, tangkap layar komen yang ditulis Ifa telah dikongsikan seorang pengguna menerusi aplikasi Threads.
Perkongsian berkenaan menjadi sorotan dengan pelbagai komen telah ditinggalkan warganet.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
@mediahiburanofficial Usahawan selebriti, Ifa Raziah tampil menjelaskan mengenai timbulnya salah faham atas dakwaan dirinya telah memperlekeh kaum lban dalam satu hantaran komen pada content video rakannya, Kelly Azman. Menurut Ifa, niatnya ketika menulis komen itu sebagai gurauan sesama sahabat dan tidak mempunyai apa-apa maksud lain. Bagaimanapun andai ada yang tersinggung atas salah faham yang berlaku, Ifa dengan rendah diri memohon maaf kepada semua pihak sekali gus enggan memanjangkan isu berkenaan. Apa pun, mendoakan yang baik-baik. #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ A sad solo piano song emotional, sad – Sound Production Gin