Penyanyi popular, Afgan teruja apabila bakal menjayakan konsert bersama orkestra Malaysia buat kali pertama di negara ini, pada esok.
Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza berkata, dia memang mahu membuat persembahan istimewa bersama orkestra tempatan kali ini menerusi konsert Afgan Live In Concert With Orchestra di Dewan Plenary Pusat Konvensyen Kuala Lumpur .
“Saya sudah beberapa kali menjayakan konsert di sini dan untuk edisi kali ini memang saya minta supaya ia membabitkan orkestra sebagai pemuzik saya.
“Lebih istimewa ini juga julung kalinya saya diiriingi pemuzik daripada Malaysia dan saya tidak sabar menjayakannya,” katanya dalam sesi bersama media di sini hari ini.
Penyanyi lagu Jodoh Pasti Bertemu itu juga memuji kehebatan kira-kira 25 pemuzik orkestra dari Malaysia yang disifatkan hebat dan profesional.
“Saya memang kagum saat menjalani sesi latihan dengan mereka bila bertemu tadi, walaupun baru dapat nota muzik untuk konsert saya mereka sudah bisa memainkan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Afgan dijangka membawakan 25 buah lagu termasuk lagu nyanyi penyanyi tempatan yang masih dirahsiakan.
Untuk edisi kali ini, dia juga bakal berduet dengan rakan senegaranya Raisa berjudul Percayalah di hadapan kira-kira 3,000 penonton yang dijangka hadir menonton.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini