Sudah pun terjual lebih 80 peratus tiket untuk kedua-dua hari konsert yang bakal diadakan pada 25 dan 26 Jun ini di pentas Istana Budaya, namun masih terdengar rungutan susulan harga tiket mahal yang dijual produksi konsert penyanyi, Aina Abdul.
Malah, ada suara-suara sinis mengatakan harga konsert A Night With Aina Abdul 2.0 Live itu mahal berbanding konsert popular lain seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ella dan Dayang Nurfaizah.
Tidak mahu membiarkan ramai terus membuat telahan sendiri, Aina tampil menjelaskan harga konsert yang diberikan itu adalah bersesuaian dengan pasukan muzik profesional yang akan dibawakannya untuk konsert berkenaan.
“Sebagai penyanyi yang menguruskan karier seni sendiri menjadi impian besar saya untuk mengadakan konsert di lokasi berprestij seperti Istana Budaya dan apabila ia menjadi kenyataan, saya tidak menoleh ke belakang.
“Saya bakal lengkapkan konsert dengan barisan pemuzik profesional. Komposer dan penerbit muzik tersohor, Mac Chew dan Jenny Chin bakal memimpin konsert ini di samping nama-nama besar lain seperti Jamie Wilson, Wan Gigi, Andy Peterson, John Thomas, Pa’aang, Jae Sern dan ramai lagi.
“Saya juga bakal membuat persembahan dengan 15 strings, 5 horn section dan 7 pieces band serta sistem audio terbaik.
“Apa yang boleh saya katakan, saya sedia untuk menjanjikan yang terbaik,” kata Aina kepada Media Hiburan.
Penyanyi lagu Sepi ini juga turut mengharapkan peminat memahami situasinya sebagai penganjur konsert ini menerusi produksinya sendiri, Aina Abdul Entertainment.
“Saya memahami situasi sesetengah peminat yang meluahkan kerisauan tetapi saya memohon agar semua dapat memahami situasi saya.
“InsyaAllah, more to come. Selepas selesai konsert di Istana Budaya mungkin pada hujung tahun atau tahun depan, saya boleh mengadakan konsert lain untuk semua yang menanti, InsyaAllah,” katanya lagi.
Harga tiket konsert tersebut dijual serendah RM113.36 hingga RM1,246.96.
A Night With Aina Abdul 2.0 diadakan sebagai titik tolak kepada kejayaan showcase A Night With Aina Abdul 1.0 yang diadakan pada Disember tahun lalu di Menara Ken, TTDI, Petaling Jaya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Aina Abdul