Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Sri Rossa mencipta sukses tersendiri apabila penjualan tiket pra-jualan Konsert Rossa: Here I Am yang dibuka pada 11 November lalu bermula jam 3.00 petang menerusi platform Ticket2U habis terjual dalam tempoh tiga jam.
Lebih mengujakan, tiket bagi kategori Festival pula ‘licin’ dalam masa 4 minit, sekaligus membuktikan pengaruh dan populariti penyanyi lagu Hey Ladies ini masih kuat di negara ini.
Sinonim dengan barisan lagu hits yang turut popular di Malaysia, penampilan Rossa di dalam sebuah konsert berskala besar pastinya menjadi antara momen yang dinantikan peminat setianya.
Konsert Rossa: Here I Am di Kuala Lumpur yang bakal dilangsungkan pada 14 Jun 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, dianjurkan Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Inspire Production dengan kerjasama SAH Entertainment.
Antara lagu yang bakal disampaikan Rossa di dalam konsert itu nanti termasuk Nada-Nada Cinta, Pudar, Hati Yang Kau Sakiti, selain segmen persembahan eksklusif yang hanya akan dipersembahkan pada malam istimewa tersebut nanti.
Meluahkan rasa teruja, Rossa akui tidak sabar untuk kembali membuat persembahan konsert di Malaysia.
“Saya sangat teruja untuk kembali ke Kuala Lumpur dan menyampaikan lagu-lagu yang membawa maksud mendalam buat saya.
“Sokongan peminat di sini sentiasa menghangatkan hati saya dan saya tidak sabar untuk berkongsi detik istimewa ini bersama mereka setelah 25 tahun berkarya,” katanya.
View this post on Instagram
Rossa juga baru sahaja muncul dengan filem dokumentari, All Access to Rossa 25 Shining Years’ yang turut ditayangkan di pawagam Malaysia pada Oktober lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Aizuddin Ghazali, menyatakan rasa terujanya terhadap kolaborasi terbaharu ini.
“Kami di PRIHATIN amat berbesar hati untuk bersama-sama menjayakan konsert ini sebagai satu inisiatif untuk merapatkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia melalui platform muzik.
“Ia secara tidak langsung turut membantu negara bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Rossa sebagai ikon seni yang disegani serta dihormati, dan kami yakin konsert ini akan memberikan pengalaman dan memori terindah buat semua peminat beliau serta memperkukuh ikatan persaudaraan serantau,” katanya.
Informasi lanjut berkenaan perkembangan terkini mengenai Konsert Rossa: Here I Am boleh diikuti menerusi akaun sosial media Rossa dan platform jualan tiket.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI