
Timothée Chalamet sekali lagi mencipta sejarah dalam dunia hiburan antarabangsa apabila dinobatkan sebagai Pelakon Filem Lelaki Terbaik di Screen Actors Guild (SAG) Awards.
Pelakon berbakat besar ini membawa pulang trofi berprestij itu menerusi lakonannya sebagai Bob Dylan dalam filem “A Complete Unknown”, menjadikannya pelakon lelaki paling muda pernah menang dalam kategori tersebut.
Sebelum ini, rekod tersebut dipegang oleh Nicolas Cage, yang menang menerusi filem “Leaving Las Vegas” pada tahun 1995 ketika berusia 31 tahun.
Namun, Timothée yang baru sahaja menyambut ulang tahun ke-29 pada Disember lalu berjaya memintas rekod itu dan mencatat sejarah baharu dalam industri perfileman.
Menerusi ucapannya, kekasih kepada Kylie Jenner itu secara terbuka menyatakan impiannya untuk menjadi antara pelakon paling hebat dalam sejarah Hollywood.

BACA JUGA: Demi Moore Rangkul Anugerah Pelakon Wanita Terbaik SAG Awards
“Saya tahu industri ini penuh dengan pendapat berbeza, tapi hakikatnya saya benar-benar mahu mencapai tahap yang luar biasa. Saya nak jadi antara yang terbaik.
“Saya terinspirasi dengan legenda-legenda hebat dalam industri ini, termasuk Daniel Day-Lewis, Marlon Brando, Viola Davis dan juga ikon-ikon sukan seperti Michael Jordan & Michael Phelps. Saya mahu berada di tahap mereka,” katanya penuh bersemangat.
Kemenangannya sekaligus mengubah dinamik perlumbaan Oscar tahun ini kerana Adrien Brody disebut-sebut sebagai calon pilihan untuk Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem “The Brutalist”.
Namun, selepas timbul kontroversi penggunaan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu Brody menghasilkan loghat percakapan Hungary, pujian terhadap filem itu dan lakonannya mula merosot.
Jika Timothée berjaya membawa pulang Oscar untuk Pelakon Lelaki Terbaik, dia akan mencipta satu lagi sejarah sebagai pemenang termuda dalam kategori tersebut, menewaskan rekod yang dipegang oleh Adrien Brody menerusi filem “The Pianist” pada tahun 2003.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI