Vokalis kumpulan Search, Datuk Amy terkilan dengan cara layanan bekas anggota Kid dan Din yang didakwa tidak telus dengan vokalis sementara mereka yang juga penyanyi asal Indonesia, Denden Gonjalez.
Menurut Amy, Denden sebenarnya tidak tahu mengenai kehadirannya ke Malaysia adalah untuk menggantikan posisinya selaku vokalis.
“Denden nak sangat berjumpa saya. Dia nak minta maaf. Denden bagitahu saya, ketika dia datang ke Malaysia, dia tidak tahu yang saya sudah keluar daripada Search.
“Sewaktu Denden di Bulgaria, mereka (Kid & Din) tidak bagitahu hal ini. Selama Denden di sini, dia selalu bertanya di mana Amy? Tapi mereka hanya menjawab Amy sibuk.
“Sampailah satu hari dia nampak gambar saya di Facebook sedang buat persembahan. Ketika itu, baru mereka bagitahu Denden yang saya sudah keluar daripada band.
“Mereka kata, saya sudah tua dan tidak boleh menyanyi lagi. Jadi, Denden rasa dirinya diperangkap. Impiannya datang ke Malaysia untuk berkongsi pentas dengan saya,” katanya kepada MH.
Amy ditemui pada majlis Jamuan Hari Raya Go Search International di Villa Zamara, Sungai Penchala, di ibu negara, baru-baru ini.
Pada masa sama, Amy turut mendedahkan yang Denden sebenarnya sudah pun keluar daripada band selepas konsert kedua.
“Denden bagitahu saya lagi, ketika konsert kedua mereka di Penang, dia sebenarnya sudah pun keluar daripada band. Selebihnya, kehadiranya bersama band tersebut hanya sekadar menolong sahaja.
“Kata Denden lagi, dirinya rasa tidak dihargai dan mereka tidak berterima kasih kepadanya.
“Malah, Denden agak terkilan apabila Din memperkenalkannya sebagai penyanyi jemputan. Padahal pada awalnya, mereka maklumkan yang Denden bakal menjadi vokalis band,” kongsi Amy lagi.
Sementara itu, Amy menafikan dia bakal bekerjasama dengan Denden dalam konsert yang bakal diumumkan, tidak lama lagi.
“Memang ada yang bertanya mengenai perkara ini, tapi kami tak bincang apa-apa lagi. Denden banyak meluahkan rasa kagumnya terhadap saya selaku vokalis Search.
“Malah, ketika Denden memuat naik gambar bersama saya di Instagram, Din terus menghubunginya.
“Saya ada beritahu kepada Denden apa yang dikongsikan ini pasti akan ditanya wartawan, namun Denden berpesan, teruskan sahaja jika saya berkongsi cerita benar,” jelas Amy.
Katanya Amy lagi, tindakkan Din dan Kid itu hanya akan memburukkan nama Malaysia di negara jiran.
“Bila Denden mengadu kepada saya, saya rasa itu perkara yang memalukan. Selama saya menjadi popular di Indonesia, hubungan saya dengan artis di sana sangat akrab.
“Ia juga memalukan negara kita juga. Kita tidak sepatutnya melayan orang sebegitu,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.