Berita

“Tindakan Menembak Mati Anjing Liar Tidak Berperikemanusiaan,” – Nashriq Ismail Sabri

Share

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bera, Nashriq Ismail Sabri, membantah sekeras-kerasnya operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar, termasuk ‘Kopi’ yang dipercayai telah ditembak, baru-baru ini.

Menurut Nashriq, 32, dia menyifatkan tindakan yang dijalankan itu sebagai tidak berperikemanusiaan kerana masih terdapat langkah lain yang boleh diambil selain daripada membunuh.

Tambah Nashriq, pihak terbabit misalnya boleh melaksanakan pemandulan terhadap anjing dan kucing liar sebagai langkah untuk mengatasi masalah gangguan terhadap orang awam.

“Telah tiba masanya untuk Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membenarkan penggunaan senjata api terhadap haiwan, terutamanya terhadap anjing dan kucing liar dihapuskan serta merta.

“Salah satu langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah untuk membina satu pusat perlindungan haiwan di setiap kawasan yang mempunyai masalah anjing atau kucing liar.

“Kerajaan juga boleh membenarkan NGO Pencinta Haiwan untuk menjaga tempat tersebut secara sukarela. 

“Selain itu, pihak kerajaan juga boleh membuat operasi pemandulan anjing dan kucing liar agar boleh mengawal pembiakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, anak kepada Perdana Menteri Kesembilan ini turut menambah, Malaysia seharusnya mencontohi negara-negara luar seperti Switzerland, Austria, dan Australia dalam menjaga kebajikan haiwan.

“Saya amat berharap pihak kerajaan sedia mendengar suara daripada pencinta haiwan di negara ini dan bekerjasama dalam mengambil langkah yang lebih baik untuk mengatasi masalah anjing dan kucing liar di negara ini.

“Malaysia harus mencontohi negara-negara maju seperti Switzerland, Austria dan Australia dalam menjaga kebajikan haiwan.

“Lagi-lagi negara kita yang majoritinya orang Islam wajib mengikuti perintah Allah SWT dengan tidak menyakiti mana-mana haiwan, lagi-lagi membunuh.

“Jadi jangan la kita ‘menghalalkan’ cara hanya kerana ada ‘SOP’ yang telah ditetapkan di dunia,” katanya lagi.

Terdahulu, Majlis Daerah Besut (MDB) telah melakukan operasi bersepadu untuk menangkap dan melupuskan anjing liar di beberapa kawasan di Bandar Jertih selepas menerima 62 aduan mengenai gangguan haiwan tersebut daripada orang awam.

Menurut MDB, tindakan melupus anjing liar adalah mengikut prosedur Tatacara Operasi Piawai (TOP) ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan selari dengan peruntukan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH